'Setiap aksi berbeza', bos Burriram United teramat yakin mampu jinakkan JDT di stadium keramat


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Tiada sebarang jaringan disaksikan dalam pertembungan pertama 16 pasukan terbaik pada Isnin lalu. — Facebook/Buriram United

AKSI lebih baik diharapkan penyokong daripada Johor Darul Ta'zm (JDT) dalam pertembungan kedua pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite menentang Buriram United.

Ini kerana perlawanan pertama di Thailand pada Isnin lalu menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dengan skuad Harimau Selatan jelas bergelut untuk memberi impak terbaik.

Jadi, dalam misi melayakkan diri ke pentas suku akhir, JDT perlu mencari pendekatan baharu bagi menundukkan lawan mereka itu dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa depan.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT di tangan yang tepat, ketangkasan Zubiaurre disamakan dengan Casillas

BACA LAGI: [VIDEO] Boakye ancaman besar JDT hadapi Buriram United?

Osmar Loss mahu membuat kejutan ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Facebook/Buriram United

Bagaimanapun, Buriram United jelas tidak mahu melayangkan bendera putih terlalu awal dengan pengendalinya, Osmar Loss tekad menampilkan persembahan cemerlang di gelanggang skuad Harimau Selatan itu.

"Kita akan mengambil pendekatan berbeza bagi setiap perlawanan. Dalam aksi sebelum ini di sana, seorang pemain kita dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan. Tetapi, hari ini (Isnin), sesuatu yang berbeza dapat disaksikan.

"Kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 11 pemain. Kita ada tempoh seminggu untuk melakukan persiapan sebelum bertolak ke Johor. Kami berharap dapat meraih kemenangan di sana," katanya.

Buriram United dan JDT pernah bertembung di peringkat kumpulan ACL Elite musim ini dengan tiada sebarang jaringan disaksikan, namun pelbagai momen menarik ditonjolkan di Stadium Sultan Ibrahim.

Pertembungan kedua-dua pasukan di peringkat kumpulan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ini termasuk tiga layangan kad merah, termasuk terhadap tonggak pasukan pelawat, Theerathon Bunmathan yang berkelakuan tidak sopan terhadap bintang JDT, Arif Aiman Hanapi.

Jelas Osmar Loss lagi, keputusan seri dicatatkan di laman sendiri pasti akan menyuntik keyakinan dalam diri anak-anak buahnya menjelang pertembungan kedua di tempat lawan.

"Saya boleh katakan setiap apa yang dilakukan sempurna dengan persembahan kami secara keseluruhan adalah cukup baik. Kita mencipta lebih banyak peluang tetapi tidak memanfaatkannya," katanya lagi.

Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, perlawanan berkenaan menyajikan ujian sukar buat anak-anak buahnya, namun dia masih boleh melihat aspek positif.

Bidoglio mengakui pasukannya berdepan kesukaran ketika penguasaan bola. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Aksi ini memberi tekanan buat kami, namun dalam aspek pertahanan, kita beraksi secara memuaskan. Kita bermain dengan meyakinkan tetapi dalam masa sama, perlu tambah baik dari segi penguasaan bola.

"Setiap kali kita memegang bola, kami berdepan kesukaran untuk melakukan hantaran ataupun mencari ruang bebas. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pemain yang sudah memberikan segala-galanya," ujarnya.

Sistem diterapkan jurulatih skuad Harimau Selatan itu mengundang persoalan daripada penyokong yang beranggapan dia gagal memanfaatkan kelebihan daripada pemain berkualiti dimiliki.

Ini termasuk rekrut terbaru JDT, Samu Castillejo yang dimasukkan pada separuh masa kedua meskipun memiliki kebolehan untuk mencetus perbezaan buat pasukannya itu.

Bidoglio memiliki peluang untuk membuktikan hal sebaliknya dalam pertembungan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim dengan mereka masih belum mengalami sebarang kekalahan di sana sepanjang musim ini. — AFC

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram