
BEKALAN tipis diraih Liverpool dalam pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan satu gol pada Khamis.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Parc de Princes, Perancis, skuad The Reds perlu berterima kasih dengan jaringan Harvey Elliot pada minit ke-68 yang memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Bagaimanapun, aksi itu tidak lari daripada spekulasi membabitkan mutu pengadilan dengan pasukan tuan rumah berasakan mereka sepatutnya memiliki kelebihan daripada perlawanan itu.
BACA LAGI: Bintang Barcelona, Bayern sesuai jadi 'pairing' Konate andai Van Dijk tinggalkan Liverpool
BACA LAGI: Fabrizio Romano dedah Liverpool akan 'ikat' 2 bintang termasuk Konate untuk jangka masa panjang
Ini selepas jaringan penyerang sayap, Khvicha Kvaratskhelia pada minit ke-20 dibatalkan berikutan semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain itu berada dalam keadaan ofsaid.
Tidak cukup dengan itu, PSG turut berpendapat bek tengah pasukan pelawat, Ibrahima Konate sepatutnya dibuang padang kerana menggagalkan peluang satu-lawan-satu dimiliki Bradley Barcola.
Kekasaran dilakukan pada separuh masa pertama itu menyaksikan pemain antarabangsa Perancis tersebut melakukan asakan keras terhadap penyerang lawan sehingga dia terjatuh.
Namun, pengadil perlawanan, Davide Massa beranggapan Konate tidak melakukan sebarang kesalahan dengan pegawai VAR turut berpandangan sedemikian dengan keputusan itu menimbulkan kemarahan buat tuan rumah.
Semakan VAR mendapati Kvaratskhelia berada dalam keadaan ofsaid sebelum menjaringkan gol buat PSG. — Agensi
Meskipun memiliki lambakan peluang sepanjang perlawanan, anak-anak buah Luis Enrique gagal menyempurnakannya sebelum Elliot meledak pada minit akhir untuk memecahkan kebuntuan.
Kontroversi pengadilan itu menyebabkan ramai pihak, termasuk pengarah sukan PSG, Luis Campos yang berang sehingga menyaksikannya meluahkan perasaan dalam terowong pemain selepas perlawanan.
Dalam video tular di media sosial, dia didapati mengkritik barisan pengadil berkali-kali secara terbuka dengan mengatakan 'anda sepatutnya memberi sepakan penalti atau kad merah'.
PSG boleh menebus kekecewaan tersebut dalam pertembungan kali kedua di Anfield pada 12 Mac depan dengan perbezaan satu gol tidak menandakan peluang mereka mara ke suku akhir UCL sudah terpadam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram