
PENANTIAN bintang Selangor FC, Faisal Halim untuk mencetak gol dalam tempoh hampir setahun berakhir selepas dia meledak gol ketika pasukannya menang ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Sabtu.
Lebih membanggakan lagi, dia yang menjadi mangsa simbahan asid itu berjaya mencetak hatrik dalam perlawanan berkenaan yang turut menyaksikan skuad Gergasi Merah melangkah ke pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two buat dua musim berturut-turut.
Bagi mengabadikan malam penuh emosi itu, Faisal tampil menghadiahkan bola perlawanan buat anaknya dengan momen menyentuh hati itu dikongsikannya menerusi hantaran di Instastory peribadinya.
BACA LAGI: Faisal Halim antara penerima Darjah, Bintang Sultan Selangor
BACA LAGI: Kes Faisal Halim akan jadi 'rujukan' tapi siasat dulu siapa kawal Instagram Saddil Ramdani
Ramai beranggapan bola diberikan Faisal itu sebagai simbol kepada kebangkitannya di atas padang.
"Alhamdulillah, ini rezeki abang. Abang selalu tanya bila nak main, 'daddy' tak tahu nak jawab macam mana dekat abang. Ini untuk abang," tulisnya sambil menyertakan foto memaparkan anaknya di perkarangan Stadium MBPJ, Selangor.
Ramai beranggapan bola dihadiahkan Faisal kepada anaknya, Khalish Aryan itu merupakan simbolik kepada kebangkitannya di atas padang selepas mengalami satu tempoh gelap dalam kehidupannya.
Sejak menjadi mangsa simbahan asid pada Mei 2024, Faisal masih belum kembali ke prestasi terbaik dengan dia lebih kerap diturunkan pada penghujung perlawanan sebelum ini.
Meskipun berkali-kali dihidangkan peluang, penyerang berusia 27 tahun itu gagal menyempurnakan umpanan daripada rakan sepasukan sebelum sentuhan jaringannya kembali ketika berdepan KDN FC.
Faisal (kanan) diharapkan dapat meneruskan sentuhan berbisanya buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Sumbangan sedemikian sememangnya diharapkan dapat diteruskan dalam merealisasikan harapan penyokong untuk kembali menyaksikan pemain bertubuh kecil itu kembali ke dalam skuad kebangsaan.
Dalam perlawanan Liga Super itu, skuad Gergasi Merah yang hadir sebagai pasukan pelawat mencatatkan kemenangan 7-0 dengan tiga daripada gol tersebut terhasil menerusi Faisal Halim.
Bek tengah mereka, Harith Haiqal menjaringkan dua gol sementara Quentin Cheng dan Alif Izwan Yuslan masing-masing mencatatkan satu jaringan untuk memastikan tiga mata diraih pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi.
Kemenangan itu menyaksikan kelab Lembah Klang itu mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Liga Super 2024/25, sekali gus layak ke pentas Asia musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram