Perlu beri ruang bintang lebih berkualiti ke Asia, Selangor wajar pertimbang singkir 4 'deadwood'


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Danial Asri wajar dilepaskan untuk membawa pemain yang lebih berkualiti bagi saingan Asia.

KEDUDUKAN Selangor FC untuk merangkul gelaran naib juara Liga Super 2024/25 sudah terjamin sekali gus melayakkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

Ini selepas Sabah FC dan Terengganu FC terikat keputusan seri 2-2 dan gagal mengejar Selangor yang dibezakan dengan tujuh mata, dengan berbaki dua perlawanan saja lagi bagi menamatkan musim panjang ini.

Jika diberi peluang sekali lagi layak beraksi di Asia, Selangor harus memperkuatkan pasukan mereka dengan pemain-pemain lebih berkualiti pada musim depan.

BACA LAGI: 'Cklamovski tak akan beri jalan mudah buat pemain kebangsaan'

BACA LAGI: ‘Tiga point milik kami’, Saddil Ramdani berang kemenangan The Rhinos ‘dinafikan’ Zuhadi Dzulkifli

Untuk melakukan perkara itu, pihak pengurusan Selangor wajar melepaskan beberapa pemain yang tidak mampu bersaing dalam kesebelasan utama Gergasi Merah sedia ada.

Majoriti senaraikan empat pemain wajar dilepaskan untuk memberikan laluan kepada bintang baharu:

1. Daniel Asri

Sudah menginjak usia 25 tahun, prestasi Daniel Asri tidak menunjukkan peningkatan ketara bersama Gergasi Merah sejak 2020.

Daniel dilihat sering menjadi pilihan kedua atau ketiga dalam skuad utama kerana jurulatih gemar menggunakan khidmat pemain import sebagai nadi jentera serangan.

Bekas penyerang Harimau Muda itu hanya tampil dalam dua perlawanan Liga Super musim ini apabila kerap dimasukkan sebagai pemain gantian.

2. Khuzaimi Piee

Tonggak bek Harimau Malaya, Khuzaimi Piee wajar mencari jalan keluar jika mahu terus merebut tempat dalam skuad kebangsaan musim depan.

Khuzaimi atau lebih dikenali sebagai Jimmy hanya beraksi dalam tiga perlawanan Liga Super musim ini apabila dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Terkini, pemain berusia 32 tahun itu akan berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan patah tangan dan mungkin mengambil masa untuk melihat dia kembali ke atas padang.

3. Syahir Bashah

Kehadiran anak jati Ipoh, Perak ke dalam skuad Selangor selepas bekas pengendali, Michael Feichtenbeiner tertarik melihat prestasinya dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2021.

Namun sejak daripada itu, Syahir gagal bersaing dalam skuad utama apabila lebih gemar memanaskan bangku simpanan Selangor.

Pihak pengurusan Selangor wajar meminjamkan pemain itu ke kelab lain untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan sekali gus mengembalikan prestasinya semasa mewakili Perak FC.

4. V. Ruventhiran

Pernah dilabel sebagai pengganti Corbin-Ong di skuad kebangsaan, kini V. Ruventhiran masih gagal memecah masuk kesebelasan utama Selangor.

Pemain berusia 24 tahun itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan tatkala rakan sepasukan lain di posisi bek kiri saling bertukar antara Fazly Mazlan dan Zikri Khalili.

Ruventhiran wajar mencari kelab baharu seperti Penang FC yang mungkin akan kehilangan Adib Ra'op kerana banyak pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram