Kes Faisal Halim akan jadi 'rujukan' tapi siasat dulu siapa kawal Instagram Saddil Ramdani


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Saddil meluahkan rasa kecewanya terhadap kegagalan The Rhinos mendapatkan tiga mata ketika aksi menentang TFC. — Facebook/SabahFC

PENYERANG sayap Sabah FC, Saddil Ramdani dalam bahaya susulan tindakannya yang didakwa mengkritik pengadil ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC), yang berakhir dengan keputusan 2-2 pada Jumaat.

Pemain berusia 27 tahun itu meluahkan rasa kecewanya terhadap kegagalan The Rhinos mendapatkan tiga mata dengan Saddil juga seolah-olah berpendapat keputusan pegawai perlawanan meragut kemenangan pasukannya.

"Pengadil n**is. Kepimpinan kamu sangat merugikan kami (Sabah FC). Kami sepatutnya membawa pulang tiga mata penuh!" kata Saddil menerusi hantaran di laman Insta Story usai perlawanan tersebut.

BACA LAGI: ‘Tiga point milik kami’, Saddil Ramdani berang kemenangan The Rhinos ‘dinafikan’ Zuhadi Dzulkifli

BACA LAGI: Misi ke Asia belum selesai, Selangor perlu buang simpati agar Sabah berasa susah

Tindakan bekas pemain kebangsaan Indonesia berkenaan pastinya mengundang padah dan ia jelas melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Artikel 91 Statut FAM 2023.

Mengulas lanjut mengenai situasi Saddil itu, bekas pengadil bertaraf FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh berpandangan bahawa keterangan pemain perlu diambil bagi menyisat siapa yang mengawal media sosialnya.

Tangkap layar hantaran Saddil usai aksi menentang TFC pada Jumaat.

"Seharusnya terlebih dahulu siasatan menyeluruh termasuk memanggil pemain berkenaan (Saddil) untuk memberikan penjelasan supaya insiden berkenaan dapat difahami oleh semua pihak khususnya yang mereka berkuasa dalam membuat keputusan.

"Persoalannya mesti jelas, apakah pemain berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berkenaan dan apakah pemain berkenaan yang mengawal ‘statement’ itu atau ada pihak lain yang mengawal media sosial berkenaan.

"Sering terjadi pihak ketiga di mana peminat yang fanatik dengan pemain itu yang membina akaun dengan nama pemain berkenaan dan meluahkan apa yang mereka ingin sampaikan. Insiden seperti ini sering terjadi di Indonesia.

"Sekiranya ini berlaku maka ianya adalah tidak adil untuk pemain berkenaan. Bagaimanapun, sekiranya benar pemain berkenaan bertanggungjawab atas kenyaataan itu maka ianya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Dia (Saddil) sudah pasti perlu bertanggung jawab atas risiko kepada tindakan disiplin yang akan diambil selepas siasatan menyeluruh oleh mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada Majoriti.

Bekas pengadil bertaraf FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh. — Agensi

Subkhiddin menambah, tidak mustahil situasi menimpa tonggak Selangor FC iaitu Faisal Halim sebelum ini akan menjadi rujukan buat Jawatankuasa Disiplin FAM untuk menguruskan kes pemain Th Rhinos itu.

Terdahulu, Faisal menerima hukuman penggantungan perlawanan selama sebulan oleh FAM selepas mengeluarkan kenyataan menyatakan kekecewaannya terhadap perjalanan perlawanan menentang Sabah pada April 2023.

Faisal pernah digantung perlawanan selama sebulan pada musim 2023. — Facebook/SelangorFC

"Sudah pasti kes Faisal Halim akan menjadi ‘precedent’ (rujukan) kepada yang terkini. Bagaimanapun, ia perlu diberikan ruang yang secukupnya untuk menjelaskan situasi sebenar yang terjadi.

"Saya pasti jawatankuasa disiplin pasti akan meneliti semua bukti dari laporan yang mereka terima dan penjelasan yang bakal diberikan oleh pemain berkenaan atas isu ini sebelum sesuatu keputusan diambil.

"Nasihat saya kepada semua pihak sebaiknya adalah tumpu kepada tugasan mereka sebagai pemain dan biarkanlah pihak yang bertanggung jawab menguruskan liga.

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil seharusnya mereka telah sedia maklum bahawa mereka mempunyai peluang untuk membuat aduan kepada pihak pengurusan Liga Malaysia," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram