Misi ke Asia belum selesai, Selangor perlu buang simpati agar Sabah berasa susah


  • Podium
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Slot ke Asia masih belum sah milik Selangor walaupun mereka sedang menguasai kedudukan itu.

WALAUPUN sudah berjaya mendapatkan satu piala pada musim ini menerusi Piala Cabaran, namun perjuangan Selangor FC masih belum selesai.

Misi lebih besar untuk Gergasi Merah adalah unyuk mendapatkan slot ke kejohanan Asia musim depan. Mereka semakin hampir untuk melakukannya tetapi keputusan seri bertemu Sabah FC pada 27 Februari menangguhkan langkah mereka untuk ke situ.

Dengan aksi bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada Sabtu, Selangor mesti menang untuk cuba menutup segala ruang bagi Sabah memintas mereka.

BACA LAGI: 'Once upon a time', bek Tok Gajah kongsi kenangan bersama Selangor, hint sertai Gergasi Merah?

BACA LAGI: Lambakan import dalam JDT, Selangor di pentas Asia bawa manfaat buat Harimau Malaya

Terlepas tiga mata

Selangor sepatutnya boleh menutup peluang Sabah memintas mereka ketika kedua-duanya bertemu sesama sendiri pada 27 Februari.

Namun begitu, keputusan seri 0-0 itu tidak memadai buat Selangor. Malah, Gergasi Merah harus berterima kasih kepada penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz yang menyelamatkan sepakan penalti dari Darren Lok bagi memastikan pihak lawan tidak meraih kemenangan.

Kalamullah menjadi wira Selangor ketika bertemu Sabah.

Selepas terlepas tiga mata berdepan pencabar terdekat, Selangor mesti menghalakan segala kudrat mereka berdepan KDN.

Walaupun beraksi sebagai pasukan pelawat, tetapi perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semestinya memberikan kelebihan buat Selangor.

Ambil kesempatan atas kesempitan

Satu perkara yang perlu diambil oleh Selangor apabila mereka bertemu KDN adalah menggunakan kesempatan di atas masalah prestasi Sang Kijang Emas ketika ini.

Sebagai rekod, KDN sedang menduduki tangga tercorot Liga Super dengan meraih cuma tujuh mata daripada 20 perlawanan yang sudah dilalui mereka.

KDN merupakan kelab tercorot Liga Super.

Melihat kepada prestasi semasa, KDN pula sudah tewas dalam kesemua lima aksi terakhir. Ia memberikan isyarat jelas yang kelab Pantai Timur itu cukup bermasalah di atas padang.

Oleh itu, Selangor harus menggunakan peluang tersebut dengan harapan mereka dapat meraih tiga mata.

Slot ke Asia lebih lumayan

Benar, memenangi trofi itu satu perkara yang baik. Namun, untuk kelab sebesar Selangor mereka tidak sepatutnya mensasar kejohanan seperti Piala Cabaran.

Oleh itu, mereka perlu memandang visi lebih tinggi dengan meraih tempat ke Asia musim depan. Ia bukanlah sebuah trofi, namun layak ke Asia boleh membantu Selangor meraih lebih banyak pendapatan kerana menyertai kejohanan berprestij.

Penyerang-penyerang Selangor harus tajam memburu gol.

Dengan perbelanjaan skuad yang besar, Selangor harus mensasarkan untuk ke Asia supaya pelaburan yang dilakukan memberikan semula pulangan.

Pilihan di tangan Selangor. Jika benar mahu ke Asia, KDN mesti ditumpaskan dengan persembahan berkualiti di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram