
SEBELUM ini, langkah diambil pemegang saham minoriti Manchester United, Sir Jim Ratcliffe dikritik ramai apabila dia bertindak menggugurkan legenda kelab, Sir Alex Ferguson sebagai duta pasukan.
Keputusan tersebut dibuat sebagai usaha mengurangkan kos operasi gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.
Langkah sedemikian tidak terhenti di situ kerana pada sambutan Krismas tahun lalu, usahawan berpangkalan di United Kingdom itu mengambil keputusan membatalkan pemberian baucar kepada staf pasukan.
BACA LAGI: Lepas batalkan jamuan Krismas, Sir Jim Ratcliffe potong bonus perayaan staf Man United
BACA LAGI: Kerana Jim Ratcliffe, Man United mungkin tak main UCL musim depan
Staf Manchester United ketika ini ditawarkan makanan tengahari secara percuma. — Agensi
Gaya pengurusan yang bersifat kuku besi itu menyebabkan rata-rata penyokong The Red Devils mula mendesak Ratcliffe supaya tidak lagi bersama pasukan tersebut meskipun baru sahaja tiba pada pertengahan tahun lalu.
Bagaimanapun, luahan diberikan di media sosial itu tidak dilayani apabila jutawan tersebut sekali lagi mengambil langkah drastik demi keuntungan kelab tersebut tanpa memikirkan kebajikan staf pasukan.
Dalam laporan pada Isnin, Ratcliffe dikhabarkan akan menutup kantin pekerja di Stadium Old Trafford dan hanya menawarkan buah-buahan berbanding juadah makanan tengahari lengkap ketika ini.
Malah, terdapat ura-ura mengatakan langkah sedemikian akan turut diambil ke atas kemudahan di padang latihan kelab dengan hanya pemain akan menerima makanan lengkap pada waktu tengahari sementara staf lain hanya ditawarkan sup dan roti.
Laporan mengatakan pekerja di padang latihan hanya akan ditawarkan sup dan roti pada waktu tengahari. — Agensi
Berdasarkan pengiraan semasa, penarikan program makanan percuma itu akan mengurangkan kos operasi sebanyak £1 juta (RM5.5 juta) sejajar dengan misi diletakkan badan pengurusan kelab terhadap Ratcliffe.
Pendekatan diambil pihak pengurusan Manchester United itu boleh dikatakan tidak berperikemanusiaan kerana seramai 200 petugas di kantin Stadium Old Trafford akan kehilangan kerja.
Tidak cukup dengan itu, keputusan membatalkan program juadah tengahari percuma akan memberi kesan terhadap moral staf pasukan yang sudah terjejas akibat beberapa keputusan sebelum ini.
Namun, tindakan tersebut masih belum diputuskan sama ada akan diteruskan atau tidak dengan laporan media antarabangsa mengatakan perbincangan lebih mendalam akan dibuat dalam kalangan pekerja dan pihak pengurusan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram