Pernah 'hilang' 67 hari, jadi mangsa rompakan antara 3 trivia penyerang baharu JDT


  • Podium
  • Sabtu, 01 Mac 2025

Bekas penyerang AC Milan itu merupakan pemain import kelima terbaru JDT yang tiba bagi memperkuat jentera serangan dalam usaha untuk mara lebih jauh dalam saingan ACLE. — Agensi

KELAB elit Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) menunjukkan komited mereka untuk saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila pantas menyambar bekas bintang La Liga dan Serie A, Samuel Castillejo. 

Berita baik itu diumumkan menerusi laman rasmi Facebook, JOHOR Southern Tigers pada Khamis dengan kapsyen 'Dengan lebih 300 perlawanan untuk kelab La Liga & Serie A, Samu Castillejo kini milik Harimau Selatan'. 

Pemain kelahiran Malaga itu hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan reputasi selaku pemain yang pernah beraksi bersama kelab gergasi Eropah seperti AC Milan, Villarreal, Valencia, Malaga dan US Sassuolo.

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI

BACA LAGI: Terima kasih TMJ, JDT untuk 7 tahun berharga — Haziq Nadzli

Penyerang berusia 30 tahun berkenaan merupakan pemain import kelima terbaru JDT yang tiba bagi memperkuat jentera serangan dalam usaha untuk mara lebih jauh dalam saingan ACLE musim ini. 

Sebelum ini, juara Liga Super kali ke-11 berturut-turut itu juga sudah menyambar Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera, Roque Mesa dan Anselmo Moraes yang juga pemain berprofil tinggi untuk memperkukuhkan pasukan. 

Meskipun sudah ramai penyokong domestik mengenai figura bola sepak itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga trivia mengenai bintang baharu Harimau Selatan tersebut. 

1) Pernah 'hilang' sampai 67 hari 

Tangkap layar sejarah kecederaan Castillejo.

Bukan pemain bola sepak jika tidak pernah menjadi mangsa kecederaan, isu tersebut juga berlaku kepada Castillejo apabila penyerang sayap itu dilaporkan mengalami kira-kira 15 kali masalah kesihatan termasuk jangkitan influenza dan Covid-19 pada 2021.

Berdasarkan data dari laman sesawang Transfermarkt, Castillejo sering ditimpa kecederaan berulang iaitu kecederaan otot pada musim 2016/2017 sebanyak dua kali dan 2017/2018 sekali. 

Pada musim 2023/2024, Castillejo mengalami kecederaan lutut yang serius, menyebabkan penyerang itu terpaksa berehat selama 50 hari. Kecederaan itu memberi kesan kepada prestasinya ketika bersama Valencia dan akhirnya dia menjadi ejen bebas pada Ogos 2024. 

Selain itu, musim 2021/2022 juga menyaksikan Castillejo 'ghaib' selama 67 hari dek ditimpa masalah kecederaan otot koyak, Corona Virus, keletihan otot, dan masalah buku lali pada musim tersebut. 

2) Jaringkan gol berdepan juara UCL

Castillejo (kiri) ketika beraksi menentang Real Madrid. — Agensi

Sebelum berhijrah ke AC Milamn pada Ogos 2018, Castillejo berjaya menjaringkan gol ketika beraksi untuk Villarreal dalam perlawanan menentang Real Madrid dalam aksi terakhir La Liga mereka untuk musim 2017/2018.

Aksi yang berlangsung di Estadio de la Cerámica itu berakhir dengan keputusan 2-2. Castillejo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85 selepas melepasi kawalan pertahanan dan menewaskan Luca Zidane, yang ketika itu membuat penampilan sulung bersama Real Madrid.

Gol tersebut membantu Villarreal bangkit selepas ketinggalan 0-2 apabila Real Madrid terlebih dahulu menjaringkan dua gol menerusi Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo. Sebelum gol Castillejo, Roger Martínez telah merapatkan jurang untuk Villarreal.

Berhasil mengikat juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 15 kali itu pastinya menjadi kenangan manis untuk Castillejo sebelum pemain itu berhijrah ke Serie A. Dia juga membantu Villarreal di tangga kelima La Liga musim itu.

3) Pernah jadi mangsa rompakan 

Castillejo dilaporkan pernah menjadi mangsa rompakan pada 2020. Kejadian itu berlaku di Milan, Itali apabila sekumpulan individu bersenjatakan senjata melarikan barangan berharga miliknya iaitu jam tangan. 

Ketika kejadian, pemain berketinggian 1.82 meter itu berada di dalam keretanya apabila dia berhenti di beberapa lampu isyarat dan dua lelaki menghampiri dan mengacu pistol di kepalanya. 

"Nasib baik polis dapat menahan perompak tersebut. Tiada siapa yang suka meletakkan pistol di kepalanya. Semuanya berlaku dalam 20 saat, mereka meletakkan pistol ke kepala saya dan meminta jam tangan itu berulang kali," ceritanya. 

Pemain tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu dan jam tangannya yang bernilai RM371,031 itu juga berhasil dikembalikan kepadanya selepas pihak polis menahan dua individu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram