Senarai bocor Piala Belia 2025, Sri Pahang dan KDN FC beri petanda awal tarik diri Liga Super musim depan?


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Sri Pahang dan KDN FC tidak menghantar pasukan Belia beraksi pada musim depan.

KEMERIAHAN Liga Super musim depan dijangka tidak mendapat sambutan hangat kerana masalah kewangan yang dihadapi separuh daripada kelab yang bertanding musim ini.

Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC antara dua kelab yang dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji sejak awal musim sehinggakan pemain kedua-dua kelab memilih untuk memboikot perlawanan.

Ia sekali gus menunjukkan petanda awal bahawa saingan musim depan bakal ada pasukan memilih menarik diri akibat masalah kewangan yang kritikal dihadapi mereka.

BACA LAGI: Pernah minta bantuan derma darah, ex import Kelantan dilapor berhutang hospital Thailand sebelum meninggal dunia

BACA LAGI: Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya

Terbaharu, tular di media sosial senarai nama pasukan Piala Belia 2025 yang akan beraksi bagi saingan musim depan.

Dalam senarai tersebut, nama Sri Pahang FC dan KDN FC tidak kelihatan yang mana hanya 16 pasukan sahaja bertanding untuk merebut trofi Piala Belia musim depan.

Ia sekali gus memberikan gambaran awal bahawa dua pasukan tersebut mungkin menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.

Ini kerana pada 2023 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan syarat kesemua kelab Liga Super diwajibkan menghantar pasukan bertanding dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Dengan mewajibkan setiap pasukan menghantar skuad Piala Presiden dan Piala Belia, FAM pernah tidak menolak kemungkinan masalah akan timbul disebabkan perkara itu, namun menegaskan setiap kelab perlu bijak menguruskan kewangan.

Senarai nama pasukan Piala Belia yang akan bertanding musim depan.

Sebelum ini, khabar angin mengaitkan pasukan Kedah akan menarik diri dan memohon beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro atau Liga Perdana kerana masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Namun begitu, pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menafikan ura-ura bahawa Kedah akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia.

Khabar angin itu juga disangkal oleh pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin apabila menegaskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengelola domestik tidak pernah mengesahkan kemunculan kembali Liga Perdana.

"Saya ingin bertanya, adakah MFL telah mengumumkan akan ada Liga Perdana (peringkat kedua)? Mereka tidak pun mengesahkannya. Jadi saya menggesa media menghentikan spekulasi mereka,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram