
DESAS-DESUS khabar angin mengaitkan pemain import Ghana, Jordan Mintah bakal menyarung jersi Harimau Malaya kini hangat diperkatakan orang ramai di media sosial.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan Bergson da Silva (Brazil) dan Manuel Hidalgo (Argentina) antara dua import bakal memperkuatkan Harimau Malaya selepas cukup syarat lima tahun beraksi di Malaysia
Kini Mintah yang berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak Liga Super musim ini semakin hampir menyertai revolusi Harimau Malaya sekali gus memberikan harapan baharu di barisan serangan skuad kebangsaan.
BACA LAGI: Makin pelik-pelik, Man United cadang tutup 'office', langkah jimatkan kos
BACA LAGI: [VIDEO] Boakye ancaman besar JDT hadapi Buriram United?
Menurut pandangan pemerhati sukan bebas, Afiq Rowley, dia melihat kemasukan Mintah ke dalam skuad kebangsaan memberikan pilihan variasi buat Peter Cklamovski untuk menghadapi kelayakan Piala Asia akan datang.
Kehadiran Mintah juga boleh menyelesaikan masalah pilihan di barisan serangan Harimau Malaya selain pemain yang sedia ada.
"Pada pandangan saya, ia sesuatu yang bagus. Berapa ramai penyerang tempatan kita ada yang berkualiti?
"Kehadiran Mintah beri pilihan lebih bervariasi untuk Peter Cklamovski pada aksi antarabangsa nanti.
"Pastinya ia suatu perkara positif kerana kita tahu kelebihan dimiliki Mintah sejak beberapa musim ini di Malaysia.
"Ia juga memberi persaingan sihat membabitkan penyerang Harimau Malaya yang lain," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya kualiti dimiliki jauh beza dengan pemain tempatan dengan menyifatkan bintang lokal yang baik sahaja layak diserap untuk mewakili skuad kebangsaan.
"Beza jika anda lihat aksi Mintah, dia memiliki kreativiti mencorakkan serangan, pakar tendangan bebas, serta klinikal di hadapan gawang gol.
"Musim ini sahaja dia sudah pun tersenarai selaku antara peledak terbanyak Liga Super.
"Nasib mereka (pemain lokal) sama sahaja seperti pemain lain, mana yang bagus layak diserap bersama skuad kebangsaan.
"Baik Shahrel (Fikri) atau Darren (Lok), kedua-dua mereka mempunyai peluang dan pastinya bakal dipilih jika masing-masing mempamerkan aksi konsisten bersama kelab, "ujarnya.
Untuk rekod musim ini, Mintah sudah meledak 11 gol dalam 17 perlawanan Liga Super yang mana Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) antara mangsa ledakan hatrik pemain berusia 30 tahun itu.
Sejak 2020 beraksi di Liga Malaysia, Mintah telah menjaringkan 23 gol dan empat bantuan jaringan sepanjang 43 perlawanan bersama tiga buah kelab.
Mintah juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas Asia bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kaya Iloilo (Filipina) sekali gus memberikan kelebihan buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram