
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan memulakan cabaran sengit di pusingan ke-16 kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Buriram United di Chang Arena, Thailand pada Selasa (4 Mac).
Misi membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor antara cabaran sukar buat anak-anak buah Hector Bidalgio kerana Buriram United mempunyai rekod baik di halaman sendiri.
Selain JDT yang sibuk membawa masuk bintang-bintang Eropah bagi memperkuatkan pasukan, Buriram United juga melakukan perkara sama.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakan ‘free agent’ Samu Castillejo calon sesuai ganti Jorge Obregon di JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Pep Guardiola ada sejarah kejut Neymar tidur pukul 2 pagi ajak 'join' Bayern Munich
Skuad kendalian Osmar Loss membawa masuk tiga pemain import baharu iaitu Martin Boakye, Peter Zulj dan Ko Myeong-seok selepas menandatangani sembilan bintang lain awal musim lalu.
Antara tiga 'signing' baharu Buriram United itu, nama Boakye menjadi tumpuan apabila dia sudah meledak empat jaringan dalam Liga Thailand meskipun baharu dibawa masuk pada Januari lalu.
Manakala dalam saingan ACLE, Boakye sudah pun mencetak nama selaku penjaring buat Buriram United ketika mengikat pasukan Gwangju FC pada 18 Februari lalu.
Melihat kepada sejarah kelab, Boakye mempunyai pengalaman luas di Eropah dengan menyertai Liga Itali, Austria dan Luxemborg sebelum berhijrah ke Asia.
Mempunyai ketinggian 1.90 meter antara ujian sukar buat pertahanan JDT ketika situasi sepakan penjuru ataupun sepakan percuma kerana Boakye pastinya memanfaatkan kelebihan fizikal dimilikinya.
Usia yang lebih muda berbanding rata-rata pertahanan JDT juga boleh menjadi kelebihan buatnya untuk mengatasi bintang veteran Harimau Selatan dari segi stamina selama 90 minit.
Dibantu dengan pemain hebat seperti Guilherme Bissoli dan Lucas Crispim, Boakye pastinya bakal menjadi ancaman terhebat pertahanan JDT untuk membawa bekalan selesa ke SSI. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram