KECEDERAAN serius merupakan risiko besar dalam bola sepak yang boleh menamatkan karier pemain jika tidak ditangani dengan baik.
Di Malaysia, beberapa pemain muda yang memiliki potensi cerah terpaksa bersara lebih awal akibat kecederaan, antaranya bekas bintang Perak, Nor Hakim Isa.
Nor Hakim yang juga merupakan bekas pemain Harimau Muda itu pernah menyelamatkan skuad The Bos Gaurus (TBG) daripada jatuh ke Liga Perdana tetapi terpaksa menggantung but akibat kecederaan.
BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia
BACA LAGI: Tiga kelab Liga M termasuk Sri Pahang berputih mata, Jesper rupanya kembali warnai Liga Thailand
Berdasarkan rekod, Nor Hakim kekal bersama skuad TBG selama tiga musim bermula 2014 sebelum berkelana ke Melaka United, PKNP dan akhirnya beraksi buat Selangor pada 2019.
Meskipun kariernya berakhir lebih awal namun perkara itu tidak menghalang Nor Hakim daripada terus rapat dengan sukan yang amat dicintainya itu kerana ketika ini, dia bergelar jurulatih dalam Akademi Bola Sepak Miker.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, selain bekas bintang Perak, terdapat tiga pemain tempatan lain yang membuat keputusan untuk bersara lebih awal dan beralih ke bidang kejurulatihan.
1. Nafuzi Zain
Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain memilih untuk bersara lebih awal sebagai pemain bola sepak dan fokus dalam bidang kejurulatihan kerana minat dan potensi yang lebih besar di situ.
Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila dia berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai Penolong Ketua Jurulatih pada 2011 dan 2013 dan sebagai Ketua Jurulatih pada 2015.
Nafuzi kemudian menjadi Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.
Nafuzi Zain (kanan) ketika membimbing Kelantan.
Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.
Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024 sebelum dilantik menjadi menjadi pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Negara.
Kali terakhir Nafuzi beraksi sebagai pemain adalah pada musim 2010, ketika menyertai Kelantan FC, yang merupakan kelab terakhir dalam kariernya.
2. Amirul Hadi Zainal
Bekas pemain tengah kebangsaan, Amirul Hadi Zainal merupakan salah seorang pemain tengah terbaik pernah mewarnai arena bola sepak moden.
Di peringkat kelab, anak jati Alor Gajah, Melaka itu sememangnya diakui memiliki sentuhan istimewa kerana dia pernah menyertai tiga kelab gergasi tanah air.
Setelah meraih kejayaan bersama Selangor FA untuk beberapa musim, Amirul Hadi kemudiannya berpindah ke Pahang FA pada 2013 dan beraksi di situ untuk setahun.
Peningkatan ketara dalam gaya permainan Amirul Hadi telah membuka peluang untuknya menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), yang menyaksikan kejayaan dalam kariernya.
JDT merupakan salah sebuah pasukan pernah disertai Amirul Hadi sepanjang kariernya yang gilang gemilang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kini, setelah mencapai pelbagai pencapaian, dia kekal di Selatan tanah air sebagai pembantu jurulatih skuad muda Harimau Selatan, memberi sumbangan dalam pembangunan bakat bola sepak negara.
Untuk rekod, Amirul Hadi pernah menjuarai enam gelaran juara Liga Super, iaitu dua ketika bersama Selangor FA dan empat ketika beraksi bersama skuad Harimau Selatan.
Selain itu, pemain yang kini berusia 39 tahun tersebut merupakan salah seorang tonggak ketika JDT menjuarai Piala AFC 2015 dengan beberapa penampilan direkodkannya.
Kali terakhir Amirul Hadi beraksi dalam Liga Malaysia adalah pada musim 2020 dengan menyertai JDT II ketika itu.
3. Akmal Rizal Ahmad Rakhli
Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli antara pemain yang memilih untuk bersara lebih awal dan memberi fokus kepada bidang kejurulatihan.
Untuk rekod, Sarawak FA merupakan kelab terakhir Akmal Rizal sebelum mengambil keputusan untuk menggantung but pada musim 2013.
Ketika menggalas tugas sebagai pengendali Penang FC, Akmal Rizal mengamalkan pendekatan yang berani ketika berdepan lawan walaupun lebih hebat daripada mereka.
Akmal Rizal adalah antara pemain remaja terbaik Malaysia dan pernah menyertai kelab Eropah, SC Strasbourg pada 1999. — The Star
Akmal lebih gemar bermain hantaran-hantaran pendek sewaktu melakukan gerakan (build-up), bermain permainan terbuka dan tidak terburu-buru ketika menyerang.
Bagaimanapun, khidmat Akmal rizal terpaksa ditamatkan selepas skuad Harimau Kumbang gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan akhir-akhir ini.
Untuk rekod, selepas 16 perlawanan Liga Super, Penang hanya meraih dua kemenangan, seri lima kali dan mencatat enam kekalahan sekali gus menjunam ke tangga ke-11 carta apabila sekadar mengutip 14 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram