Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
BINTANG seorang penjaga gol tidak sentiasa terang seperti didapati oleh Khairulazhan Khalid. Dalam pada itu, kegelapan yang dilalui juga bukan semestinya tidak berpenghujung dengan kembalinya penjaga gol Selangor FC itu untuk ditagih pengalamannya semula.
Sekian lama ‘diperam’, penjaga gol berusia 34 tahun itu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi ketika barisan Gergasi Merah menundukkan Penang FC 4-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Sabtu lalu untuk menuntut semula tempatnya daripada Sam Somerville.
“Saya rasa kali terakhir Yan (Khairulazhan) bermain ialah dalam Piala Malaysia tahun lepas, itu dah lapan atau sembilan bulan lepas. Dia ‘tokoh’ besar dalam pasukan Selangor. Sebelum-sebelum ini ketika kemuncaknya, dia adalah antara penjaga gol terbaik di Malaysia. Saya tak pernah ragu-ragu dengan kebolehan dia,” kata ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil.
BACA LAGI: Nidzam terima hakikat menang semata-mata belum cukup buat Selangor FC
BACA LAGI: KDN FC pertaruh Valdumar segera akhiri kebuntuan jaringan
Khairulazhan berpeluang mengekalkan tempatnya jika meneruskan prestasi cemerlang. — Facebook/Selangor FC
Prestasi Yan mungkin sedikit ‘berkarat’ gara-gara lama tidak diturunkan. Malah, semakan mendapati selepas hilang Tempatnya susulan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 Jun 2023, dia terpaksa merelakan Somerville diangkat selaku penjaga gawang nombor satu sebelum mendapat peluang semula enam bulan kemudian ketika menang 3-1 ke atas PDRM FC dalam perlawanan terakhir liga pada 17 Disember 2023.
Pada awal musim ini, laman media sosial Selangor FC mencatatkan Khairulazhan akan terus bersama skuad Gergasi Merah bagi musim kelapannya selaku satu-satunya pemain paling lama menyarung jersi Merah Kuning setelah membuat 151 penampilan sejak 2016.
Dalam tempoh berkenaan, penjaga gol berketinggian 1.78 meter itu turut mencatatkan rekod 33 perlawanan tanpa dibolosi.
“Sudah tentu bila dia tak main lapan hingga sembilan bulan di peringkat tertinggi, seorang pemain utama seperti dia pun kadang-kadang ada sedikit rasa ragu-ragu. Tapi saya tengok dia sangat tenang.
Kecekapan Somerville menyaksikannya meraih kepercayaan sebagai penjaga gol utama. — Facebook/Selangor FC
“Dua hari ni (sebelum perlawanan dengan Penang FC), dia tahu dia akan dimainkan dan kita bantu dia dari segi maklumat, dari segi persiapan. Pada penghujungnya disebabkan personaliti dia yang berpengalaman, saya fikir dia lalui perlawanan dengan baik (bolos hanya kepada sepakan penalti Rafael Vitor pada minit ke-64,” kata Nidzam selepas perlawanan itu.
Mungkin ramai yang tidak mengingati Yan ketika masih bersama Pahang meraih dua anugerah dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 13 November 2014 – selain Penjaga Gol Terbaik, turut menjadi miliknya ialah Pemain Paling Bernilai (MVP). Ini berkat kecemerlangannya membantu skuad Tok Gajah itu tampil juara berganda, Piala FA dan Piala Malaysia musim berkenaan.
Bola Pegun pada 26 Mei lalu memaparkan aksi Liga Super sudah banyak menyaksikan perubahan nasib penjaga gol. Ada yang kehilangan tempat kesebelasan utama untuk satu tempoh panjang gara-gara cedera atau kemerosotan prestasi, ada yang kemudian ‘berkarat’ kerana lama tidak beraksi dan tidak kurang juga ada yang digilir-gilirkan bagi menghangatkan lagi perebutan tempat antara mereka.
Ini berikutan Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, memberikan bekas penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid, debut selepas Haziq Nadzli bolos enam gol dalam dua perlawanan pertama The Bos Gaurus (TBG).
Kalamullah kini merupakan penjaga gol utama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Nasib tidak berbeza buat Ifwat Akmal Chek Kassim yang turut kehilangan tempatnya di antara dua tiang gol selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 7 Disember 2022 mengumumkan telah mengikat bekas penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dengan kontrak dua tahun.
Berbeza pula keadaannya dengan Sri Pahang FC yang musim lalu menyaksikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad, kerap menggilirkan Izham Tarmizi Roslan dengan Zarif Irfan Hashimuddin.
Izham bagaimanapun sudah kembali ke JDT selepas tempoh pinjamannya tamat dan digantikan oleh Azfar Arif Sukri (Penang FC) dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi (KDA FC).
Azfar membuat kemunculan sulungnya ketika mengikat Kuala Lumpur City (KLC) FC 0-0 hujung minggu lalu dan harus mendapat lebih banyak minit permainan selepas ini.
Nasib penjaga gol sebenarnya tiada sebarang jaminan. Penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed, yang dilihat kebal tewas buat kali pertama musim lalu apabila gagal menyelamatkan sepakan penalti pemain import Kelantan FC, Leonardo Rolon, pada 11 Mac, diikuti jaringan pemain import Terengganu FC, Sony Norde pada 9 Jun dan jaringan Matko Zirdum (KL City) pada 3 Julai.
Ramadhan beraksi cemerlang setiap kali diberikan peluang. — Facebook/Perak FC
Malah, Syihan bolos sehingga tiga gol – jaringan Ifedayo Olusegun, Manuel Ott dan Amirbek Dzhuraboev – ketika terikat 3-3 dalam perlawanan dramatik dengan KDA FC di Alor Setar pada 26 Ogos. Ia satu-satunya perlawanan yang JDT keciciran mata.
Perebutan jersi nombor 1 dalam mana-mana pasukan pun hanya akan terus menghangatkan persaingan agar tidak lalai setiap kali diberi peluang beraksi – seperti amaran Yusri kepada penjaga gol dalam pasukan Perak FC.
“Yang bagusnya Haziq sentiasa ‘mencucuk’ beliau (Ramadhan)... maksudnya tidak boleh ‘tidur’ kerana seandainya dia ‘tidur’ selepas ini, giliran Haziq akan masuk semula,” katanya.
Dalam konteks ini, Nidzam tidak pun berbeza sebenarnya dengan sentiasa menawarkan peluang untuk Somerville – bolos lapan gol dalam lima perlawanan bermula dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak FC pada 23 Jun – ditampilkan semula dalam kesebelasan utama.
“Saya tidak menidakkan keupayaan Sam. Kalau anda lihat dia berlatih, ini seorang pemain berkelas tinggi. Sudah tentu ada satu dua benda yang Sam dan kita harus perbaiki.
“Tapi untuk ketika ini, pujian adalah untuk kedua-dua penjaga gol ini (termasuk Khairulazhan). Kerana persaingan antara kedua-dua (pemain) ini membuatkan bahagian tu ada sisi positif yang saya nampak,” kata Nidzam lagi.
Kelebihan ketika ini mungkin lebih sedikit memihak Khairulazhan – itu pun jika dia mampu menutup pintu golnya daripada dicerobohi Sri Pahang FC malam esok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram