[VIDEO] 'Nafikan sepakan percuma Ronaldinho', Azmin Azram rupanya sempat minta tip legenda Selangor


  • Podium
  • Selasa, 04 Mac 2025

Aksi persahabatan antara Malaysia dan Brazil berakhir dengan kemenangan 4-0 untuk pasukan gergasi Amerika Selatan itu.

BEKAS penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz berkongsi pengalaman menafikan sepakan percuma legenda Barcelona dan Brazil, Ronaldinho semasa menjadi tetamu dalam satu program Julang Podcast baru-baru ini.

Pada 2002, Brazil yang ketika itu dibimbing oleh Luiz Felipe Scolari memilih Malaysia sebagai lawan pemanas badan menjelang Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Allan Harris menurunkan barisan terkuat, termasuk Azmin sebagai penjaga gol utama.

BACA LAGI: Dulu ligat atas padang, Gopi kini berniaga di bazar Pontian

BACA LAGI: 'Bolos paling sikit tak tercalon', bukan saja fans, pengarah Terengganu FC turut persoal kriteria calon GK Terbaik

Sebelum perlawanan bermula, Azmin sempat meminta tip daripada jurulatih penjaga gol Selangor FC ketika itu, Rashid Hassan mengenai cara untuk mengatasi sepakan percuma Ronaldinho.

“Sebelum perlawanan, saya hubungi jurulatih saya, Rashid Hassan. Dia banyak berjasa dalam karier saya. Rashid beritahu, tunggu, tengok pergerakan bola itu dahulu, dari situ baru buat keputusan.

“Sebab dekat Selangor, setiap hari saya selalu buat latihan hantaran, jadi saya dapat penilaian penjaga gol yang baik,” katanya.

Manisnya, tip daripada Rashid membantu Azmin menafikan percubaan deras bintang Samba itu.

“Saya bukannya penjaga gol dengan ketinggian enam kaki, tapi ALLAH S.W.T memberi saya kelebihan lompatan. Jadi, saya tunggu bola itu dan dalam hati berkata, kalau aku gerak dulu, gol ni, jadi saya buat aksi menyelamatkan bola,” tambahnya.

Aksi persahabatan antara Malaysia dan Brazil berakhir dengan kemenangan 4-0 untuk pasukan gergasi Amerika Selatan itu yang dijaringkan oleh Ronaldo, Juninho Paulista, Denilson dan Edilson menjaringkan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram