[VIDEO] JDT di tangan yang tepat, ketangkasan Zubiaurre disamakan dengan Casillas


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Antara aksi Zubiaurre ketika perlawanan menentang Buriram pada Selasa. — Facebook/JDT

DERBI Asia Tenggara antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United berakhir dengan terikat tanpa jaringan dalam aksi pusingan 16 pertama saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) yang berlangsung di Stadium Chang Arena, Buriram, Thailand pada Selasa.

Dalam perlawanan berkenaan, pasukan rumah jelas menunjukkan penguasaan permainan apabila Buriram United mencatatkan 51 peratus, sedikit mengatasi JDT yang mencatatkan 49 peratus penguasaan.

Selain itu, anak-anak buah Osmar Loss juga menunjukkan dominasi dengan 15 percubaan ke arah gawang lawan berbanding Harimau Selatan yang hanya mencatat empat percubaan ke gawang yang dijaga Neil Etheridge. 

BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong

BACA LAGI: 'Bergson jauh lebih baik', ramai kurang setuju bintang The Cats diberi status naturalisasi

Namun, kedua-dua pasukan hanya berjaya menghasilkan satu percubaan tepat masing-masing, sekali gus mencerminkan ketangkasan benteng pertahanan dan penjaga gol kedua-dua pasukan termasuk bintang JDT, Andoni Zubiaurre. 

Ketangkasan Zubiaurre bukan hanya mendapat pujian penyokong Harimau Selatan, malah laman rasmi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) juga memuat naik video pemain kelahiran Sepanyol berkenaan. 

"Johor Darul Ta'zim berada dalam tangan yang tepat," puji laman berkenaan pada Rabu. 

Ketangkasan penjaga gol berusia 28 tahun itu juga membuatkan sesetengah penyokong Harimau Selatan menyamakan Zubiaurre dengan legenda bola sepak Real Madrid dan Sepanyol iaitu Iker Casillas. 

Casillas sememangnya penjaga gol terbaik dalam sejarah Real Madrid apabila dia membantu gergasi dari Sepanyol itu memenangi lima gelaran La Liga, tiga Liga Juara-Juara, dua Copa del Rey dan tiga Piala Dunia Kelab.

Disamakan dengan Casillas pastinya satu penghormatan untuk Zubiaurre. Penjaga gol berketinggian 1.89 meter berkenaan juga pastinya akan membela JDT dalam saingan ACLE dan kejohanan domestik. 

"Ketangkasan Zubiaurre sudah macam Iker Casillas," kata penyokong JDT, Mohamad Faizal. 

"Memang banyak Zubiaurre main peranan lawan Buriram semalam (Rabu)," tambah penyokong Harimau Selatan, Muhd Syafiq. 

Casillas secara rasminya mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak pada usia 39 tahun iaitu pada 2020.

Ketangkasan Zubiaurre menyelamatkan maruah JDT dapat dilihat apabila bekas penjaga gol Eldense berkenaan berhasil menepis tandukan penyerang sayap sensasi Buriram, Suphanat Mueanta pada minit ke-65.

Selepas ini, khidmat Zubiaurre akan digunakan dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram