
LEGASI bola sepak sering diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya dengan situasi seorang anak yang bergelar pemain akan menjadikan ayah mereka sebagai contoh untuk mengembangkan karier mereka.
Istilah bapa borek anak rintik cukup sesuai untuk menggambarkan tindakan beberapa pasangan ayah dan anak yang memilih untuk bermain dalam kelab sama dengan faktor legasi perlu diteruskan.
Ia membuktikan bahawa kesetiaan terhadap kelab bukan hanya tentang bermain di atas padang, tetapi juga tentang semangat yang ditanam dalam hati pemain. Kejayaan pasukan bukan sekadar trofi, tetapi juga bagaimana kecintaan terhadap kelab terus hidup.
BACA LAGI: Dah lebih 10 tahun, bekas import Kedah, JDT, Selangor rupanya masih aktif bola sepak
BACA LAGI: ‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’
Sri Pahang dan Selangor FC adalah contoh pasukan yang mempunyai sejarah panjang dengan pemain-pemain legenda. Dari ayah yang menyarung jersi kelab hingga diikuti anak lelaki mereka.
Ia menunjukkan bahawa kasih sayang terhadap kelab bukan sekadar satu musim, tetapi boleh diwariskan hingga ke anak-anak. Berikut Majoriti menyenaraikan kisah legenda dan anak mereka yang meneruskan perjuangan dalam kelab sama;
1) Datuk Zainal Abidin Hassan dan Mohd Zaiza
Zainal Abidin bersama anaknya Mohd Zaiza (kiri). — Facebook/PahangFA
Bekas penyerang kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan salah seorang legenda bola sepak Malaysia yang pernah beraksi bersama dua pasukan Liga Malaysia iaitu Selangor FA dan Pahang FA.
Sepanjang kariernya, Zainal Abidin dikenali sebagai pemain berbakat yang memberi sumbangan besar kepada pasukan. Keupayaannya sebagai penyerang dan kepimpinannya di atas padang menjadikannya antara nama yang disegani dalam arena bola sepak tempatan.
Legasi beliau dalam bola sepak diteruskan oleh anaknya, Mohd Zaiza Zainal Abidin yang turut bermain untuk pasukan Pahang di awal kariernya dan juga menyarung jersi PKNS FC (kini dikenali sebagai Selangor II) pada 2016 hingga 2017.
Lebih menarik apabila pada Piala Malaysia 2013, pasangan anak-beranak itu sekali lagi menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Malaysia apabila mereka bersama dalam kejayaan pasukan Pahang menjulang trofi berprestij itu.
Ketika itu, Zainal Abidin bertindak sebagai Penolong Pengurus membantu Tok Gajah menewaskan Kelantan 1-0. Sementara itu, Zaiza Zainal Abidin merupakan salah seorang pemain simpanan Pahang pada waktu berkenaan.
2) Zainal Nordin dan Amirul Hadi
Zainal dan Amirul Hadi kedua-duanya bermain untuk Selangor. — Facebook/SelangorFC
Nama penyerang tempatan, Zainal Noordin tidaklah terkenal seperti legenda Gergasi Merah yang lain namun siapa mengikuti sejarah bola sepak Selangor pasti mengenai pemain pada era 90-an tersebut.
Sebagai pemain yang berdedikasi, Zainal memberikan sumbangan besar kepada skuad dan menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak negeri itu. Legasi diteruskan oleh anaknya, Amirul Hadi Zainal, yang turut menjadi pemain penting dalam skuad Gergasi Merah.
Pemain yang kini bertugas sebagai pembantu jurulatih dalam skuad muda Harimau Selatan itu memulakan kariernya bersama Selangor FA untuk beberapa musim sebelum berpindah ke Pahang FA pada 2013 dan beraksi di situ untuk setahun.
Peningkatan ketara dalam gaya permainan Amirul Hadi telah membuka peluang untuknya menyertai JDT yang menyaksikan kejayaan dalam kariernya seperti menjuarai Piala AFC 2015 dengan beberapa penampilan direkodkannya.
3) Razman Roslan dan Aryan Rizqi
Anak Razman Roslan menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Akademi Selangor FC B-12. — Instagram/AyanRizqi
Berbeza dengan Zainal Abidin dan Zainal, anak Razman Roslan iaitu Muhammad Aryan Rizqi Mohd Razman masih bermain dengan pasukan junior apabila baru sahaja menandatangani kontrak Akademi Selangor FC Bawah 12 Tahun (B-12).
Menerusi satu perkongsian dibuat oleh Razman di laman Instagram miliknya, pemain yang beraksi sebagai pertahanan tengah ketika bergelar pemain itu memuat naik beberapa foto dia bersama isteri dan anaknya menandatangani kontrak bersama Selangor.
Aryan Rizqi yang menyarung jersi nombor 13 bersama Gergasi Merah itu menandatangani kontrak selama empat tahun, bermula tahun ini hingga 2028.
Ia pastinya satu pencapaian membanggakan buat Razman apabila melihat anak keduanya itu mengikut jejak langkah.
Untuk rekod, Razman yang kini bertugas sebagai pundit atau pengulas sukan di stesen televisyen swasta tanah air menghabiskan kariernya dengan mewakili tiga pasukan iaitu Selangor, Pahang dan Melaka United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram