Tidak seperti Ligue 1, pemain Muslim terus diberi masa berbuka puasa dalam Liga-A


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Liga Australia berbeza daripada beberapa liga lain, seperti di Perancis, kerana perlawanan dihentikan seketika untuk memberi peluang kepada pemain Muslim berbuka puasa.

Bola Pegun menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

LIGA Australia (Liga-A) sekali lagi mengamalkan dasar membenarkan pemain beragama Islam berbuka puasa ketika dalam perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

Kali pertama diperkenalkan musim lalu sebagai menunjukkan inklusiviti keagamaan, inisiatif itu meluangkan pemberhentian 90 saat permainan untuk pemain Muslim melepaskan dahaga dan menjamah sedikit makanan apabila tiba waktu berbuka puasa.

Pemain tengah Sydney FC, Anas Ouahim, yang juga pemain antarabangsa bawah 23 tahun Maghribi, memuji inisiatif diperkenalkan Liga-A itu.

BACA LAGI: Tak tercalon TOTW ke-8, JDT tetap boleh berbangga 'selevel' jaguh Jepun

BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong

“Sudah tentu ia mencabar. Sesetengah pekerjaan lebih mencabar daripada segi fizikal daripada yang lain. Tentunya sebagai pemain bola sepak, anda perlukan makanan dan minuman untuk beraksi di tahap tertinggi.

“Apabila anda tidak makan atau minum untuk satu jangka waktu panjang, berbuka puasa tepat pada waktunya adalah penting – ia membantu anda menghidrasi diri dan mengambil sebutir atau dua buah tamar untuk mengembalikan tenaga,” katanya dalam temu bual dengan media Sydney FC.

Pemain tengah Sydney FC, Anas Ouahi memuji inisiatif yang diperkenalkan Liga-A itu.

Lebih-lebih lagi, jadual liga musim ini dilihat sangat relevan kerana Ramadan di Australia bermula pada 1 Mac – meluangkan masa buat Ouahim dan pemain-pemain Muslim yang lain bermain dan berbuka puasa dalam perlawanan sehingga akhir bulan ini.

Bagi seorang pemain Muslim seperti Ouahim – yang dilahirkan di Jerman dan sebelum ini beraksi untuk FC Koln – dasar meluangkan masa untuk pemain berbuka puasa ketika dalam perlawanan – mewakili lebih daripada sekadar pertimbangan praktikal. Malah, ia satu perakuan bermakna buat kepercayaan mereka.

“Lebih-lebih lagi kepada atlet-atlet profesional, peluang sedemikian sangat bermanfaat. Inisiatif seperti ini mewujudkan keseimbangan buat pemain bola sepak seperti saya. Ia membenarkan saya untuk memenuhi tuntutan ibadat sambil beraksi dalam sukan yang saya cintai,” katanya lagi.

Dasar Liga-A itu melambangkan meningkatnya kepekaan merentasi sukan global terhadap memenuhi tuntutan agama.

Bagi pemain-pemain Muslim, bulan Ramadan memberikan cabaran unik kepada atlet-atlet profesional yang perlu mengekalkan prestasi di tahap tertinggi sepanjang berpuasa. Dalam pada itu, dasar bertimbang rasa untuk meluangkan masa buat mereka berbuka puasa membuat mereka benar-benar rasa dihargai.

Ketua Bersama Pemain Bola Sepak Profesional Australia, Beau Busch, (kiri).

Ketika memperkenalkan inisiatif itu musim lalu, Ketua Bersama Pemain Bola Sepak Profesional Australia, Beau Busch, berkata semakin kerap didengar desakan untuk memperkenalkan polisi bagi melindungi pemain berpuasa akhir-akhir ini.

“Kumpulan pemain kami mewakili pelbagai latar belakang dan agama dan kami perlu memastikan suasana di tempat kerja membuat mereka berasa mendapat sokongan. Inisiatif seperti ini adalah satu langkah ke hadapan,” tambahnya.

Pemberhentian 90 saat yang diluangkan itu ditetapkan apabila bola terkeluar daripada permainan dalam kedudukan neutral menyerupai peraturan dalam liga lain seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat kecuali dalam Ligue 1 Perancis yang melarang dasar sedemikian.

Kedua-dua pihak kelab dan pegawai perlawanan boleh meminta pemberhentian khas itu selewat-lewatnya 90 minit sebelum sepak mula perlawanan.

“Ia adalah satu rahmat,” kata pemain kelab Liga-A, Macarthur FC, Ali Auglah, kerana sedikit kelonggaran peraturan sempena Ramadan yang meluangkan masa untuk pemain beragama Islam berbuka puasa ketika perlawanan masih berlangsung.

Liga-A telah memperkenalkan satu polisi baru membenarkan pemain Muslim berbuka puasa sebentar dalam perlawanan, yang rata-rata dialu-alukan pemain yang menganggap inisiatif itu bukan sekadar untuk melepaskan dahaga tapi menyerlahkan rasa hormat.

Pemain kelab Liga-A, Macarthur FC, Ali Auglah menyifatkan inisiatif baru berkenaan sebagai 'signifikan'.

Sesungguhnya, bagi pemain seperti Auglah, perlawanan yang berlangsung sempena Ramadan akan jauh berbeza dan lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Penyerang berusia 22 tahun itu menyifatkan inisiatif baru berkenaan sebagai 'signifikan'.

“Saya fikir ia satu keputusan yang amat penting dalam bola sepak, terutama kepada pemain beragama Islam,” katanya seperti dipetik SBS Arabic24.

Bagi pemain seperti Auglah, Ramadan bukan saja bulan suci tapi ia juga mencabar, dengan menuntut pemain beraksi tanpa secukup tenaga dan hidrasi dalam sukan fizikal itu.

“Sebutir tamar dan tiga teguk air mencukupi untuk berbuka puasa,” jelas Auglah, yang berada di bangku pemain simpanan ketika pasukannya menyingkirkan Sabah FC 3-0 dalam separuh akhir peringkat zon Piala AFC di Stadium Campbelltown Sports pada 13 Februari tahun lalu.

Penyerang berusia 22 tahun kelahiran Auburn, New South Wales itu berkata sambil berpuasa baik untuk tubuh yang sihat, menguruskan diri ketika tempoh tidak berpuasa juga penting buat pemain bola sepak.

“Kami perlu mengambil secukup makanan berkhasiat dan minuman, terutama di antara waktu iftar dan sahur,” katanya.

Abdelelah Faisal turut bersetuju dengan inisiatif yang diperkenalkan.

Rakan sepasukannya, Abdelelah Faisal, berkata pemberhentian untuk berbuka puasa dalam perlawanan bermaksud lebih daripada sekadar satu kesempatan untuk melepaskan dahaga dan mengalas perut. Ia juga satu perakuan bahawa pemain Muslim dihormati sambil mereka memenuhi tuntutan agama.

Inisiatif dalam Liga-A itu juga meyakinkan pemain Muslim bahawa mereka tidak perlu menyembunyikan yang mereka berpuasa atas kebimbangan tidak akan diturunkan dalam perlawanan, kata aktivis sukan, Ahmed Mnahi.

“Kini mereka berasa lebih selesa untuk memaklumkan yang mereka berpuasa kerana peraturan membenarkan untuk berbuka ketika dalam perlawanan yang akan menyegarkan mereka semula untuk beraksi cemerlang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram