
PRESTASI konsisten terus dipamerkan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz yang menjadi wira ketika pasukan Lembah Klang tersebut berdepan Sabah FC pada Khamis lalu.
Dia yang menepis sepakan penalti Darren Lok dalam perlawanan berkenaan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan, sekali gus memastikan skuad Gergasi Merah memiliki kelebihan lapan mata berbanding lawannya itu.
Sekiranya rentak itu dapat diteruskan, tidak mustahil skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu berjaya layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two buat tahun kedua berturut-turut.
BACA LAGI: Kalamullah nekad kekal tampil aksi terbaik bersama Gergasi Merah
BACA LAGI: [VIDEO] Cukup berbaloi, 3 sebab Kalamullah rekrut terbaik Selangor FC musim ini
Konsistensi Kalamullah membantu skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Super. — Instagram/Kalamullah Al Hafiz
Harapan berkenaan turut diletakkan Kalamullah yang mahu memberi aksi terbaik dalam perlawanan berbaki dalam Liga Super sambil menegaskan terdapat saingan hebat di posisi tersebut.
"Persaingan sengit membuatkan saya lebih berwaspada dan saya tidak mahu mengambil setiap pulang dengan mudah. Kita masih mempunyai empat aksi berbaki dan saya bersedia membantu pasukan mengesahkan kedudukan kedua dalam liga," katanya.
Pemain berusia 29 tahun itu kini berstatus penjaga gol nombor satu buat Selangor FC meskipun hanya menyertai pasukan tersebut dari Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan lalu.
Ketangkasan dipamerkan selain persembahan konsisten membolehkannya menjadi nadi utama di barisan pertahanan sehingga berjaya mengenepikan saingan daripada Azim Al-Amin, Sam Somerville serta Khairulazhan Khalid.
Somerville terus disisihkan sejak skuad Gergasi Merah membawa masuk Kalamullah. — Facebook/Selangor FC
Sekiranya kualiti ditunjukkan itu dapat diteruskan, tidak mustahil sekiranya Kalamullah diserap ke dalam Harimau Malaya menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
"Saya gembira kerana menerima pujian daripada orang ramai, tetapi saya tahu saya boleh melakukan lebih lagi. Banyak lagi perkara perlu dilakukan untuk berada dalam skuad kebangsaan. Saingan cukup hebat kerana ramai lagi penjaga gol yang beraksi cemerlang," katanya.
Untuk rekod, Kalamullah sudah merekodkan lapan 'clean sheet' daripada 12 perlawanan secara keseluruhan dengan hanya tiga gol dilepaskan penjaga gol kelahiran Kelantan itu.
Statistik memberangsangkan itu pasti menjadi tarikan buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk meletakkannya dalam senarai menjelang aksi menentang Nepal pada penghujung Mac nanti. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram