'Belum jumpa JDT dah terduduk', prestasi yo-yo antara sebab Tok Gajah mungkin dikecewakan The Cats


  • Podium
  • Selasa, 04 Mac 2025

Sri Pahang gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam tiga perlawanan liga terakhir, dengan mencatatkan dua kekalahan dan satu keputusan seri. — Facebook/Sripahangfc

PERLAWANAN tertunda aksi minggu ke-15 Liga Super 2024 antara Sri Pahang FC dan Kuching City FC dijadualkan berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang pada Selasa.

Aksi yang tertunda itu menyaksikan Sri Pahang FC berdepan cabaran besar untuk meraih kemenangan di laman sendiri, memandangkan pasukan pelawat memiliki kelebihan satu gol selepas perlawanan pertama yang diadakan pada 2 November lalu.

Perlawanan tersebut terhenti selepas kedua-dua pasukan bermain selama 30 minit berikutan faktor keadaan padang yang tidak mengizinkan.

BACA LAGI: Sabah bukan yang pertama, Selangor lebih awal dihantui badi penalti 3 aksi terdahulu

BACA LAGI: 'Cabaran di tangan Hector Bidoglio serlahkan potensi sebenar Castillejo'

Menjelang aksi penting itu, skuad kendalian Fandi Ahmad dijangka berdepan tugas sukar untuk memperoleh keputusan positif.

Ini berikutan rekod tiga perlawanan liga terakhir mereka yang menyaksikan dua kekalahan dan satu keputusan seri.

Rekod itu memberikan gambaran bahawa prestasi Sri Pahang FC ketika ini agak terumbang-ambing dengan kekalahan dalam dua perlawanan liga yang lalu.

Situasi itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa Tok Gajah mungkin akan mengalami kesulitan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 12 April nanti.

Selain daripada cabaran dalam Piala Malaysia, Sri Pahang juga berdepan ancaman besar dalam usaha mereka mempertahankan kedudukan dalam saingan Liga Super.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa Tok Gajah akan tersungkur di hadapan penyokong sendiri.

1. Prestasi tidak menentu

Sri Pahang FC terus berdepan kesukaran dalam saingan Liga Super selepas beberapa perlawanan tanpa kemenangan, dengan hanya meraih keputusan seri dan kalah.

Keputusan itu mencerminkan prestasi yang tidak konsisten, yang berpotensi memberi kesan buruk dalam perlawanan mereka menentang Kuching City FC nanti.

Melihat kepada rekod tiga perlawanan liga terakhir, Sri Pahang gagal mencatat kemenangan apabila tewas kepada Selangor FC dan Terengganu FC.

Manuel Hidalgo (kanan) dilihat menghadapi kesukaran untuk membantu Sri Pahang meraih kemenangan dalam perlawanan liga baru-baru ini. Facebook/Sripahangfc

Pada 8 Februari lalu, pasukan kendalian Fandi Ahmad itu gagal menjaringkan sebarang gol ketika berdepan Selangor FC, dengan Gergasi Merah mudah menembusi gawang mereka sebanyak dua kali untuk meraih kemenangan.

Lebih mengecewakan, dalam perlawanan menentang Terengganu FC pada Khamis minggu lalu, Sri Pahang mengalami kekalahan besar apabila pasukan Sang Penyu mencatatkan kemenangan dengan lima gol berbalas satu.

Namun, pasukan Tok Gajah masih berpeluang menarik nafas lega apabila mereka berjaya mengikat Sabah FC dengan keputusan 2-2 dalam aksi di tempat lawan pada 16 Februari lalu.

Walaupun begitu, Sri Pahang perlu segera memperbaiki prestasi mereka jika ingin kembali ke landasan kemenangan, terutamanya menjelang perlawanan berdepan The Cats. 

2. Ketinggalan 0-1 di Temerloh 

Sri Pahang FC kini ketinggalan 0-1 di tangan Kuching City, satu situasi yang mencerminkan kekurangan dalam bahagian serangan dan pertahanan pasukan tuan rumah

Ketinggalan 0-1 tersebut pastinya memberikan tekanan tambahan kepada pasukan untuk mengejar keputusan positif dalam baki perlawanan.

Kuching City FC yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak mendahului Sri Pahang dengan jaringan tunggal yang dijaringkan oleh pemain import mereka, Yuki Tanigawa.

Aksi Sri Pahang-Kuching City ditangguh kerana hujan lebat.

Gol tersebut hadir pada minit ke-14 selepas Tanigawa menanduk masuk bola sepakan penjuru yang diambil dengan kemas. 

Jaringan awal itu jelas memberi kelebihan kepada Kuching City, yang kini dijangka akan lebih menguasai permainan dan menguji ketahanan Sri Pahang dalam usaha untuk mendapatkan kembali kedudukan.

Dalam pada itu, Sri Pahang perlu memperbaiki penyelesaian serangan mereka serta memperkukuh pertahanan agar tidak terus tertekan untuk mengejar gol penyamaan.

3. Ketajaman Jordan Mintah

Skuad Tok Gajah perlu berwaspada dengan kelincahan penyerang berbisa Kuching City, Jordan Mintah yang semakin padu dalam saingan Liga Super.

Dalam empat aksi liga terkini, Mintah muncul sebagai penjaring utama The Cats dengan meledak enam gol.

Untuk rekod, pemain kelahiran Ghana itu menjaringkan satu gol ketika bertemu PDRM DC pada 11 Januari lalu yang menyaksikan Kuching City meraih kemenangan 2-0.

Mintah (tengah) mencetak hatrik bagi membantu The Cats mencuri tiga mata penting bertemu KDN FC. Facebook/Kuchingcityfc

Mintah terus menunjukkan taringnya apabila meledak dua gol dalam perlawanan menentang Penang FC dan Terengganu FC. 

Kedua-dua perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri, 1-1 menentang Penang dan 2-2 menentang Terengganu.

Pada 26 Februari lalu, pemain berketinggian 1.82 meter itu terus mempamerkan ketajamannya dengan mencetak hatrik dalam perlawanan menentang Kelantan Darul Naim, yang berakhir dengan kemenangan 3-0 untuk Kuching City.

Ketajaman Mintah di depan gol jelas memberi ancaman besar kepada pasukan lawan dan Sri Pahang perlu berhati-hati untuk mengekang kemaraannya dalam pertemuan pada Selasa. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram