
SELANGOR FC mengambil keputusan berani pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2025/26 apabila mengumumkan kehadiran Kalamullah Al-Hafiz yang baru sahaja meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kehadiran pemain kebangsaan tersebut pada awalnya menimbulkan persoalan memandangkan skuad Gergasi Merah sudah memiliki beberapa pilihan dalam posisi itu, termasuk beberapa penjaga gol muda seperti Azim Al-Amin.
Bagaimanapun, sejak mencipta debut dalam aksi Liga Super menentang PDRM FC, Kalamullah segera menjadi watak utama dalam benteng pertahanan kukuh yang dibangunkan Katsuhito Kinoshi.
BACA LAGI: 'Kalamullah lebih layak', fans Gergasi Merah tak setuju Ali Olwan dinobat MOTM
Kalamullah meninggalkan skuad Sang Kenari pada pertengahan musim 2024/25. — Facebook/MFL
Prestasi pemain berusia 29 tahun itu sememangnya amat memberangsangkan apabila dia membantu Selangor FC mencatatkan tujuh 'clean sheet' dalam 11 perlawanan dengan hanya tiga gol dilepaskan setakat ini.
Meskipun ada beranggapan lawan dihadapi skuad Gergasi Merah tidaklah begitu mencabar, Kalamullah masih memberikan aksi terbaik setiap kali diuji dalam misi membantu pasukan itu layak ke pentas Asia musim depan.
Tidak cukup dengan itu, kehadirannya turut menyaksikan kelab Lembah Klang itu menjulang MFL Challenge Cup dengan persembahannya dalam perlawanan kedua menentang skuad Sang Saka Biru pada Sabtu lalu wajar dipuji.
Kepercayaan diberikan pasukan tersebut kepadanya membuatkan penjaga gol itu berasa bangga kerana ia juga merupakan kali pertama dia menjulang trofi selepas bertahun-tahun aktif di atas padang.
Kalamullah tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
"Syukur Alhamdulillah kerana ini merupakan trofi pertama saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih buat pihak pengurusan Selangor kerana boleh terima saya pada pertengahan musim, jadi ia membuatkan saya mahu memberi aksi terbaik selepas diberi peluang," katanya kepada Majoriti.
Kalamullah diangkat sebagai antara penjaga gol tanah air terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Petaling Jaya (PJ) City FC sebelum memilih untuk menyertai KDA FC pada 2023.
Selama beraksi di Utara tanah air, kedudukannya dalam kesebelasan utama sukar diuji apabila dia membantu skuad Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat musim lalu.
Bagaimanapun, masalah kewangan dialami pasukan tersebut menyaksikannya meninggalkan pasukan tersebut sebelum menyertai Selangor FC dengan persembahan konsistennya berjaya diteruskan.
Kalamullah menjadi watak utama ketika skuad Gergasi Merah menjuarai MFL Challenge Cup. — Facebook/Selangor FC
Pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu juga sempat memberikan kredit kepada rakan sepasukannya yang banyak membantu sepanjang beraksi buat skuad Gergasi Merah.
"Setiap kali saya beraksi, barisan pertahanan banyak bantu dan saya ingin berterima kasih kepada pemain pertahanan Selangor FC. Bagi saya, semua pemain bekerja keras dalam membantu saya untuk dapatkan keputusan baik," katanya.
Rentak positif ditunjukkan Kalamullah itu sudah tentu diharapkan dapat diteruskan dalam misi skuad Gergasi Merah layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram