Legend Peteh yakin kemampuan Luqie di TFC, saingan 'ubi muda' bukan masalah


  • Podium
  • Isnin, 03 Mac 2025

Skuad Sang Penyu merupakan salah sebuah pasukan tempatan yang kerap memberi kepercayaan buat pemain muda. — Facebook/Terengganu FC

PINTU luas dibuka Terengganu FC buat bekas penyerang skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Luqman Hakim Shamsudin yang dilaporkan mahu kembali ke arena bola sepak tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Mohd Sabri Abas, perpindahan itu boleh dimeterai sekiranya rundingan kedua-dua pihak menemui kata putus dengan mereka bersedia memberikan minit permainan diperlukannya.

Sekali pun masih berstatus khabar angin, harapan kelab Pantai Timur tersebut diterima baik penyokongnya sendiri kerana mereka masih percaya akan potensi pemain itu.

BACA LAGI: Lupakan gah Gergasi Merah, kurang tekanan antara sebab Luqie perlu sertai Terengganu

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya 9 penampilan 2024, Luqman Hakim bakal kembali ke Belgium sebelum jadi ejen bebas

Luqman Hakim terbuka untuk kembali ke arena bola sepak tanah air.

Malah, masing-masing berasa yakin bahawa skuad Sang Penyu merupakan antara destinasi relevan buat Luqman Hakim kerana terdapat ramai 'ubi muda' yang bakatnya digilap bersama pasukan berkenaan.

Hal itu turut disokong legenda Terengganu, Che Ku Marzuki yang beranggapan penyerang berusia 22 tahun itu mampu menemui semula sentuhannya jika menyertai pasukan tersebut.

Jelasnya, pembangunan bakat muda dalam sukan bola sepak di negeri itu amat ditekankan melihat kepada sejarah terdahulu selain keberadaan sekolah sukan yang dibangunkan bertahun-tahun lamanya.

"Bagi saya, untuk Luqman Hakim untuk bersaingan dengan pemain tempatan sedia ada, memang tiada masalah. Lagi pun, Terengganu suka bawa masuk pemain dengan reputasi.

Skuad Sang Penyu boleh menerima kehadiran Luqman Hakim. Facebook/Terengganu FC

"Oleh itu, pemain muda seperti Luqman Hakim ke bumi Terengganu adalah pilihan yang betul untuk mengembangkan bakat. Kita boleh lihat contoh lalu seperti Faisal Halim, Safawi Rasid dan Azam Azmi Murad yang semuanya mencipta nama di Terengganu," katanya kepada Majoriti.

Ketika ini, kontrak penyerang itu bersama kelab Belgium, KV Kortijk akan berakhir pada Jun, sekali gus memaksanya mencari kelab baharu dengan pasukan tempatan menjadi pilihannya.

Ini kerana tempoh diluangkan di luar negara, termasuk di Jepun dan Iceland kurang membuahkan hasil memandangkan Luqman tidak diberi peluang beraksi dalam pasukan utama secara kerap.

Dalam pada itu, Che Ku menegaskan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut sesuai menyertai skuad Sang Penyu kerana penyokong dan komuniti di Terengganu amat menggemari pemain muda.

Che Ku yakin dengan pembangunan bola sepak di Terengganu yang boleh memberi manfaat buat Luqman Hakim.

"Terengganu FC adalah tempat sesuai buat Luqman kerana pemain di sini boleh menerima pemain luar. Persekitaran di negeri ini juga suka membantu dan tiada gangguan seperti di bandar besar," katanya lagi.

Setakat ini, laporan turut mengatakan Luqman berkemungkinan kembali ke pangkuan Selangor FC kerana dia pernah beraksi buat skuad muda mereka sebelum berkelana ke Eropah.

Bagaimanapun, semua hal yang dikongsikan di media sosial masih berstatus khabar angin dengan hanya pihak pengurusan kelab serta pemain berkenaan sendiri boleh memberikan kata putus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram