KEDAH Darul Aman (KDA) FC dikenali sebagai pasukan yang mempunyai sejarah dan cerita tersendiri dengan bekas pemain mereka juga akan senantiasa dikenang jasanya sehingga ada diberi gelaran legenda dek sumbangan ke atas kelab sebelum ini.
Malah, legenda Sang Kenari juga masih mempunyai hubungan baik dengan para penyokong skuad Hijau Kuning apabila mereka sering dilihat membuat interaksi di platform media sosial.
Apa yang menarik mengenai perkembangan semasa legenda Hijau Kuning kali ini apabila dua bekas pemain Kedah dari era berbeza iaitu Andre Luis Nascimento dan Sandro Da Silva dilihat reunion di Pantai Cumbuco, Brazil.
Pertemuan dua legenda yang pernah menyarung jersi Kedah itu dikongsikan oleh Sandro di laman Insta Story miliknya dan ternyata gambar berkenaan mencuri perhatian penyokong Hijau Kuning.
BACA LAGI: Cipta sejarah jadi pemain termuda Kedah diiktiraf FIFA, Roshidi Shaari terpaksa 'ditidurkan'
Tangkap layar Insta Story Sandro.
“The Legend Andre Luis Almeida Do Nascimento (Kedah 1996 - 1998) dan The Legend Sandro Da Silva Mendonca (Kedah 2015 - 2018).
“Semalam (Ahad) Sandro berkongsi hantaran ‘stories’ dalam instagram peribadinya bersama legenda Nascimento. Dua nama pemain import dari Brazil yang berjaya mencipta sejarah dan sensasi tersendiri ketika mewakili Kedah.
“Selain beraksi di posisi yang sama, mereka juga berasal di satu kawasan yang sama di Fortaleza, Brazil. Lain era lain masa, namun tetap sama menjadi kebanggaan kami penyokong Kenari sepanjang zaman! Biar jasa jadi kenangan legend,” tulis laman Facebook penyokong Kedah, Sang Kenari 1924.
Sedikit info mengenai Nascimento, penyerang yang tiba pada 1996 itu pernah merangkul kejuaraan Piala FA yang pertama untuk pasukan Kedah pada tahun berkenaan dengan menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Merdeka dibawah kendalian pengendali, Mustakeem Omar.
Nascimento (tengah) tiba sebagai penyerang Kedah pada 1996. — Agensi
Selain itu, penyerang yang dikatakan mempunyai gaya permainan mirip sepeti bintang Brazil, Ronaldinho itu juga membantu Kedah menjadi Naib Juara Liga perdana 1996, menjuarai Piala Emas Raja-Raja dengan menewaskan Perlis 1-0 dan mengalahkan Kelantan untuk muncul sebagai Juara Piala Agong.
Sementara itu, Sandro pula mengecapi pelbagai kejayaan bersama Kedah termasuk juara Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017, serta Piala Sumbangsih pada 2017 sepanjang era kejurulatihan Tan Cheng Hoe.
Pemain yang sudah berusia 40 tahun itu terkenal dengan teknik rembatan jarak jauh serta pakar sepakan percuma sehingga menjadikan Sandro sebagai salah satu pemain import berharga pada era kegemilangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram