
BERITA sedih menyelubungi bekas kapten Kedah dan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar pada Rabu apabila anak bongsunya, Muhammad Darwisy meninggal dunia pada usia setahun.
Kisah itu menerima perhatian daripada peminat bola sepak yang sempat menzahirkan ucapan takziah buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun berkenaan.
Berkongsi mengenai berita pilu itu, Baddrol menerusi laman Instagram peribadinya menyatakan ia adalah kehilangan amat menyedihkan, namun dia bersama keluarganya reda akan hal tersebut.
BACA LAGI: 'ALLAH pinjamkan Muhammad Darwisy sekejap', bayi lelaki Baddrol Bakhtiar meninggal dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Baddrol meriahkan majlis kahwin Rizal Ghazali, sempat singgah rai Sanusi sambut menantu
"Alhamdulillah, selesai semua urusan anak syurga ayah ibu. Sesungguhnya, ALLAH lebih sayangkan Muhammad Darwisy. Tunggu ayah dan ibu di syurga nanti ya.
"Bermainlah dengan riang kamu di sana, sambutlah tangan kami ketika mana kami melalui Titian Sirat nanti dan pimpinlah kami hingga ke dalam syurga," tulisnya.
Hantaran tersebut dibuat berserta beberapa keping gambar memaparkan Baddrol bersama ahli keluarganya menyempurnakan proses pengebumian sambil ditemani kenalan mereka.
Tinjauan di ruangan komen turut menyaksikan bekas rakan sepasukannya seperti Khairulazhan Khalid serta Nazmi Faiz Mansor sempat memberi kata-kata semangat buat mereka sekeluarga.
Berdasarkan laporan, anak bongsu Baddrol itu dipercayai meninggal dunia akibat masalah berkaitan jantung dan menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka sekitar Resort Homes Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram