
ANAK bongsu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Kedah, Baddrol Bakhtiar berusia 12 bulan dikhabarkan meninggal dunia awal pagi Rabu.
Berita itu juga dimaklumkan oleh bekas pemain bola sepak Kedah itu di platform media sosialnya.
BACA LAGI: Bayi lidah pendek bukan cacat, doktor perjelas boleh rawat seawal usia 3 bulan
"Dukacita dimaklumkan anak bongsu Baddrol Bakhtiar telah kembali ke rahmatullah lebih kurang pukul 3.15 pagi ini (Rabu).
"Jenazah masih di hospital dan akan dibawa ke Masjid Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.
"Doakan semoga sekeluarga tabah dan dipermudahkan urusan," tulisnya.
Difahamkan, Muhammad Darwisy mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan paru-paru sejak lahir dan meninggal di kediaman di Resort Homes Cinta Sayang di Sungai Petani.
Muhammad Darwisy mempunyai kembar perempuan, Dhiya Dinara yang kedua-duanya dilahirkan pada 13 Februari 2024.
Berdasarkan perkongsian isteri Baddrol, Nur Izyan Mustafa Khalid di laman Instagram, Muhammad Darwisy memerlukan penjagaan rapi di Hospital Sultan Abdul Halim ketika baru dilahirkan.
Muhammad Darwisy mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan paru-paru sejak lahir.
Dalam tempoh setahun, pasangan suami isteri itu bersama anak sulung mereka, Dhiya Delisha sering ke hospital untuk melawat Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.
Pada awal Januari lalu, Muhammad Darwisy dipindahkan dari hospital tersebut ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk meneruskan rawatan di atas masalah kesihatan yang dihadapi.
Difahamkan, Muhammad Darwisy hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 8 Januari lepas dengan pasangan tersebut bergilir-gilir menjaga bayi lelaki mereka itu.
Ternyata ALLAH lebih sayangkan Muhammad Darwisy apabila Allahyarham dijemput pada Ramadan, bulan mulia penuh keberkatan.
Jenazah Muhammad Darwisy akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin Taman Ria untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria untuk dikebumikan.
Untuk rekod, Baddrol Bakhtiar menamatkan zaman bujangnya bersama Nur Izyan pada 14 November 2015 dan dikurniakan dua lagi anak perempuan, Dhiya Delisha, 9 dan Dhiya Daniya, 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram