Kena belanja anak buah makan, hadapi mogok pemain antara cabaran Victor Andrag kendali Kedah


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

KEMELUT kewangan amat menduga Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini apabila pemain dilaporkan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan susulan kegagalan pihak pengurusan meraih dana mencukupi.

Meskipun sudah melancarkan inisiatif The Wing, langkah diambil itu dilihat belum cukup untuk menyelesaikan masalah dialami kelab Utara tanah air berkenaan.

Hal itu turut diakui pengendalinya, Victor Andrag yang tidak boleh memaksa anak-anak buahnya supaya turun ke padang latihan selain perlu mencari cara untuk membeli jiwa pemain.

BACA LAGI: Victor Andrag serap semangat Azraai Khor, pupuk 4 prospek 'The Young Kedah Warriors'

BACA LAGI: Tunggakan gaji punca pemain Kedah ponteng latihan — Victor Andrag

Impak daripada kemelut pengurusan memberi impak besar terhadap persembahan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

"Situasi sudah menjadi semakin parah sehingga kadang-kala, saya terpaksa membayar makanan pemain. Tiada jurulatih yang boleh menjangkakan hal sebegini tetapi kita perlu hadapinya dan tidak boleh melarikan diri.

"Kelab ini mengalami isu kewangan serius dengan pemain yang berang dengan perkara itu memilih untuk tidak menyertai sesi latihan," katanya yang memikul peranan berkenaan sejak pengunduran Nafuzi Zain.

Kebelakangan ini, sebahagian tonggak KDA FC mengambil keputusan untuk tidak hadir pada hari perlawanan sehingga memaksa 'ubi muda' pasukan mengisi kekosongan ditinggalkan.

Impak daripada isu tersebut menyaksikan prestasi pasukan tidak menentu dengan skuad Sang Kenari berada di tangga ke-10 selepas 18 perlawanan dengan hanya 20 mata dikutip.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemain senior yang memberi contoh terbaik apabila masih setia berbakti buat pasukan seperti Abdul Halim Saari dan Ariff Farhan Md Isa.

Beberapa pemain utama skuad Sang Kenari tidak menghadiri sesi latihan pasukan. — Facebook/KDA FC

Kesanggupan mereka untuk terus beraksi meskipun tahu isu gaji masih membelenggu membuatkan nama mereka terus meniti di bibir penyokong selain meraih pujian daripada pihak kejurulatihan.

"Pada hari perlawanan, saya sukar memperoleh skuad lengkap kerana saya tidak boleh memaksa mereka untuk turun beraksi disebabkan kemelut yang kini dialami.

"Tetapi, saya masih menghargai mereka yang masih sanggup hadir. Saya boleh katakan hubungan saya dengan pemain masih kukuh dan kami akan cuba satu sama lain sebaik mungkin," kata Victor Andrag lagi.

Sekiranya isu dialami gagal diselesaikan pihak pengurusan KDA FC, terdapat kemungkinan kelab itu tidak dapat bersaing dalam Liga Super musim depan, namun spekulasi berkenaan sudah ditepis sebelum ini.

Anak-anak buah Victor Andrag akan menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat dengan tiga mata penuh mampu meletakkan mereka di tangga kelapan dalam carta. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram