
DENDAM Selangor FC terhadap Sri Pahang akhirnya berjaya dilunaskan apabila meraih kemenangan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.
Sebelum ini, Tok Gajah menang 3-2 secara agregat untuk menyingkirkan Selangor FC di pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024.
Pada minit ke-14, Ali Olwan dari Selangor FC menunjukkan aksi individu cemerlang dengan melepasi empat pemain lawan dan menjaringkan gol pertama.
BACA LAGI: Kena henyak Gergasi Merah di MBPJ, fans Hogoh dah boleh agak nasib Tok Gajah di final Piala Malaysia
Gol itu memberi semangat kepada Red Giants dan pada minit ke-39, Ronnie Fernandez menambah gol kedua selepas memperdayakan pertahanan lawan.
Kira-kira 11 minit selepas separuh masa kedua, Olwan menjaringkan gol ketiga, namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin kerana bola dikesan terkena tangan Quentin Cheng.
Meskipun Sri Pahang menggandakan asakan namun Selangor dilihat cukup selesa dengan kelebihan dua gol di laman sendiri itu dan cuba memperlahankan tempo permainan sehinggalah pengadil meniup wisel panjang.
Manisnya aksi tersebut, penyerang import Gergasi Merah, Ali Olwan dinobatkan sebagai Man of the Match (MOTM) selepas menampilkan aksi yang cukup memukau dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, ramai penyokong Selangor FC menunjukkan rasa tidak puas hati mereka apabila MOTM itu diberikan kepada Ali Olwan walaupun dia dilihat banyak mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menyudahkannya dengan baik.
Walaupun Olwan berusaha keras, kegagalannya menyelesaikan peluang-peluang tersebut membuatkan penyokong merasa agak kecewa dengan keputusan tersebut.
Malah, penyokong lebih bersetuju sekiranya anugerah tersebut diberikan kepada penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz kerana prestasi cemerlangnya dalam menghalang serangan berbahaya Tok Gajah.
Kalamullah berjaya menangkap kemas setiap percubaan yang dilancarkan oleh Tok Gajah, termasuk serangan-serangan yang boleh membawa kepada gol.
Ramai yang berpendapat Kalamullah lebih layak meraih anugerah tersebut berbanding pemain lain, terutamanya kerana ketangkasan dan keyakinannya dalam memastikan gawang Selangor FC kekal selamat sepanjang perlawanan.
"Man of the Match patut Kalamullah yang dapat, tapi apa-apa pun tahniah Ali Olwan, sayang betul kalau tak dapat dua biji gol peribadi," kata Saiful Redzuan.
"Bagi pendapat saya, Man of the Match serah kat Kalamullah, banyak dia save bola, Nampak pemain Pahang pun macam putus asa nak cetak gol," Grunge Ruzaini Rue.
"Kalamullah patut MOTM, pembelian paling berbaloi, Ali Olwan bagus juga cumannya Kalamullah lebih layak," kata Syamsul Azim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram