
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan ke-11 Liga Super apabila mudah menewaskan Perak FC di halaman sendiri dengan keputusan 2-0 pada Isnin (24 Februari).
Jaringan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon memastikan JDT membawa pulang tiga mata penuh sekali gus menempah nama selaku juara Liga Super musim ini.
Kini tumpuan terarah kepada tempat naib juara antara Selangor FC dan Sabah FC yang dibezakan dengan lapan mata.
BACA LAGI: Lepas 6 tahun kemarau piala, Jese Rodriguez akhirnya rangkul trofi pertama di Asia bersama JDT
BACA LAGI: Bukan trofi ‘cikai’, 4 ‘big name’ pernah julang Piala Cabaran sebelum Selangor
Perlawanan menentang Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada Khamis (27 Februari) juga akan menentukan pasukan manakah yang lebih berhak meraih gelaran naib juara musim ini.
Menurut bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, Gergasi Merah menjadi pilihan untuk mempertahankan gelaran naib juara selepas melihat skuad yang dimiliki mereka ketika ini.
"Main di MBPJ, memang pasti nampak Selangor akan duduk tempat kedua Liga Super musim ini.
"Ini selepas melihat pemain yang mereka ada dengan import lebih berkualti daripada pihak lawan.
"Tidak kira seri atau kalah dalam keputusan itu saya nampak Selangor akan duduk tempat kedua musim ini selepas JDT," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, prestasi tidak menentu Sabah dalam beberapa perlawanan akhir Liga Super merugikan mereka unuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri.
"Sabah sejak beberapa perlawanan akhir ini mereka banyak hilang mata apatah lagi beraksi di halaman sendiri.
"Seri bertemu Sri Pahang (2-2) dan Kuala Lumpur (1-1) merugikan kem mereka untuk terus bersaing meraih tempat kedua liga.
"Mengulas aksi pada Khamis, mudah tidak mudah untuk Selangor atasi Sabah tetapi main di tempat sendiri dan baru memenangi Piala Cabaran saya rasa Selangor berkelebihan di situ," ujarnya.
Untuk rekod Selangor hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk meraih gelaran naib juara Liga Super musim ini sekali gus layak beraksi di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram