Sabah, Terengganu, Kedah 'sesak nafas' tanpa impak jurulatih baharu


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Dari kiri: Badrul Afzan, Stano dan Victor Andrag tidak membawa impak seperti mana diharapkan sebelum pelantikannya.

PENGGANTIAN ketua jurulatih dalam sukan bola sepak pada pertengahan musim bukanlah perkara asing kerana perubahan itu diambil supaya membawa kelainan positif daripada pasukan.

Bagaimanapun, harapan diletakkan itu acap kali tidak kesampaian kerana pengendali baharu gagal menerapkan ideologi dalam kelab disebabkan pemain sedia ada kurang sesuai dengan pendekatan diambilnya.

Kesan daripada kegagalan tersebut bakal menyebabkan penyokong berasa kurang senang dan yakin terhadap sebarang langkah diambil pihak pengurusan, baik dari segi perubahan di dalam mahupun di luar padang.

BACA LAGI: Dipintas Selangor 'last minute', ucapan terima kasih jurulatih JDT II beri bayangan tinggalkan Harimau Selatan?

BACA LAGI: Lepas raih 3 mata, Sony luang masa bersama bekas jurulatih kiper TRW

Hal tersebut turut disaksikan sepanjang saingan musim ini apabila sesetengah kelab membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan, namun ia tidak membawa impak diharapkan.

Malah, ada pula yang mengalami situasi apabila kehadiran ketua jurulatih baharu tersebut tidak membawa kesan positif, tetapi sebaliknya menunjukkan kemerosotan sehingga menimbulkan rasa kurang senang.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga kelab yang melakukan penggantian pengendali dengan perubahan itu hanya menyebabkan pasukan tergelincir dari landasan.

1. Terengganu FC

Musim ini, skuad Sang Penyu merupakan antara yang terawal melakukan perubahan terhadap barisan kejurulatihan apabila melantik Badrul Afzan Razali untuk menggantikan Tomislav Steinbruckner yang dipecat pada Oktober lalu.

Keputusan itu diambil selepas pasukan Pantai Timur itu ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA di pusingan separuh akhir kepada Selangor FC selain gagal mempamerkan aksi konsisten dalam Liga Super.

Pelantikan Badrul Afzan boleh dikatakan sebagai penggantian relevan memandangkan dia sebelum itu bertugas sebagai pembantu Tomislav selain pernah bergelar pemain Terengganu.

Tomislav 'direhatkan' selepas prestasi skuad Sang Penyu yang kurang memuaskan. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, pengalaman ceteknya dalam dunia kejurulatihan menyaksikan pengendali berusia 49 tahun terbabit gagal membawa impak positif buat skuad Sang Penyu setakat ini.

Penyingkiran di pusingan separuh akhir Piala Malaysia dan peringkat kumpulan Piala Shopee menunjukkan Badrul Afzan bergelut untuk mengubah nasib kelab berkenaan ke arah lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, peluang skuad Sang Penyu untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite tidak lagi terbuka kerana jurang mata dengan Selangor FC kini sudah semakin lebar.

2. Kedah Darul Aman FC

Sepanjang separuh musim 2024/25 yang lalu, prestasi Kedah Darul Aman (KDA) FC tidaklah begitu baik apabila kesungguhan pemain di atas padang terkesan dengan isu tunggakan gaji.

Namun, masalah itu tidak menghalang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantik Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara kerana yakin dengan kebolehannya mengasah bakat 'ubi muda'.

Pelantikan itu menyaksikan Nafuzi meninggalkan skuad Sang Kenari selepas semusim setengah di Utara tanah air, sekali gus membuatkan pihak pengurusan memilih Victor Andrag sebagai penggantinya.

Nafuzi memilih untuk menyertai skuad B-23 negara selepas meninggalkan skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Tetapi, situasi sama terus berulang kerana KDA FC terus bergelut dalam Liga Super dengan mereka kini menduduki tangga ke-10 Liga Super selepas hanya meraih 20 mata daripada 17 perlawanan.

Lebih mengecewakan lagi, episod duka tersebut turut dialami dalam kempen MFL Challenge Cup apabila jaringan minit akhir menyaksikan mereka tersingkir di peringkat separuh akhir kepada PDRM FC.

Meskipun perubahan itu tidak membuahkan hasil positif, penyokong tidak sepatutnya menyalahkan Victor Andrag mengenai prestasi pasukan kerana dia tidak mempunyai sebarang kuasa dalam isu pengurusan gaji.

3. Sabah FC

Dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemergian Datuk Ong Kim Swee daripada jawatannya sebagai pengendali skuad Sang Badak pada November lalu untuk berkelana ke Indonesia.

Keputusan itu amat mengejutkan kerana ketika itu, Sabah FC sedang mengekori rapat Selangor FC dengan kedua-dua mereka sedang sibuk mengejar slot ke saingan ACL Elite musim depan.

Kim Swee meninggalkan skuad Sang Badak untuk berhijrah ke Indonesia. Facebook/Sabah FC

Jadi, untuk menggantikan jurulatih berpengaruh itu, kelab Borneo tanah air berkenaan mengambil keputusan melantik Martin Stano yang sebelum itu bertugas dalam barisan kejurulatihan pasukan.

Bagaimanapun, langkah itu tidak membawa kesan dengan skuad Sang Badak kini semakin jauh di belakang skuad Gergasi Merah yang berada dalam landasan tepat untuk beraksi di pentas Asia buat dua musim berturut-turut.

Sentuhan Stano yang tidak membuahkan hasil itu turut menyaksikan penyokong mahu seorang pengendali lebih berkaliber dilantik dengan harapan impak baik disaksikan selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram