[VIDEO] 'Kalau di Kedah masih melopong tunggu gaji, aksi 'clean sheet' Kalamullah terima pujian ramai


  • Podium
  • Isnin, 13 Jan 2025

Kalamullah bagai memberikan nafas baharu buat barisan pertahanan Selangor. — Selangor FC

AKSI penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al Hafiz dalam perlawanan derbi Lembah Klang pada Ahad (12 Januari) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya mencuri tumpuan penyokong Gergasi Merah selepas cemerlang melindungi gawang gol pasukannya.

Perlawanan yang disaksikan ribuan penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan Selangor dinobatkan sebagai raja Lembah Klang apabila menundukkan KL City dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Alvin Fortes.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi pula memberikan kepercayaan buat Kalamullah untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan berbanding tiga penjaga gol lain iaitu Khairulazhan Khalid, Samuel Somerville dan Azim Al-Amin.

BACA LAGI: [VIDEO] TMJ 'hint' pemain warisan dari Eropah Selatan, Naim Garcia, bintang Liga Greece sertai Harimau Malaya?

BACA LAGI: 'Saya rasa lebih tenang dan cool', Safawi Rasid yakin TFC mampu ke pusingan kalah mati Piala Shopee

Antara momen yang diingati penyokong Selangor dalam perlawanan itu apabila Kalamullah melakukan tepisan yang menggagalkan percubaan Haqimi Azim Rosli ketika situasi satu lawan satu.

Selain itu penjaga gol berusia 30 tahun itu selesa menangkap hantaran bola daripada sepakan percuma Paulo Josue.

Aksi Kalamullah bagai memberikan nafas baharu buat pemain kelahiran Kelantan itu selepas mengalami detik-detik hitam bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila mengalami tunggakan gaji sejak awal musim.

@mannnz._ the real hero red Giant #selangorfc #kalamullahalhafiz ♬ original sound - ⠀ ⠀ ⠀ ⠀ ⠀ ⠀

Pemain berketinggian 1.80 meter itu membuat keputusan untuk berhijrah ke Selangor semasa jendela perpindahan kedua Liga Super pada September tahun lalu selepas menerima tawaran daripada Gergasi Merah.

Kemasukan Kalamullah juga menambah kekuatan Selangor di bentang terakhir pasukan selepas Somerville bolos dengan enam jaringan dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bangga dengan persembahannya dalam derbi Lembah Klang, Kalamullah berterima kasih kepada penyokong kerana menyokong pasukan dan bersyukur Selangor berjaya kutip tiga mata penting.

Kemenangan Selangor juga memberikan jarak selesa buat Gergasi Merah untuk menduduki tangga kedua Liga Super dengan 38 mata.

Melihat prestasi Kalamullah, rata-rata penyokong Selangor meluahkan rasa syukur buat penjaga gol itu apabila menyertai Gergasi Merah yang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji.

"Kalau masih dekat Kedah mungkin sekarang tengah duduk melopong tunggu gaji," kata Irwan Kailan.

"Rezeki dia (Kalamullah) dapat berkhidmat dekat Selangor. Tak perlu sindir kelab Kedah, semoga mereka stabil," ulas Wos Wos.

"Teguh pertahankan kepimpinan Kalamullah," komen Kayan Fathi.

"Minit-minit akhir itu memang 'well trained' oleh 'personal coach'. Power weh!" jelas Muhammad Nurshazni.

Bersama Selangor, Kalamullah telah tampil dalam empat perlawanan Liga Super yang mana dua daripadanya dia berjaya meraih 'clean sheet'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram