
KEJAYAAN Selangor FC menjulang MFL Challenge Cup sedikit sebanyak mengubati kedukaan dialami penyokong yang sudah 10 tahun menunggu kejayaan dalam pertandingan peringkat Asia mahupun domestik.
Kemenangan 7-0 secara agregat ke atas PDRM FC mengesahkan kejayaan buat skuad Gergasi Merah dalam dua perlawanan akhir diadakan di Stadium MBPJ, Selangor pada pertengahan Februari.
Malah, kegembiraan dalam kejohanan itu turut dimeriahkan apabila penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez diangkat sebagai pemain terbaik atas sumbangannya sejak peringkat suku akhir.
BACA LAGI: Menang bergaya ke semifinal, fans Gergasi Merah masih belum maafkan Ronnie
Skuad Gergasi Merah menjuarai MFL Challenge Cup selepas menundukkan PDRM FC dalam perlawanan akhir. — Facebook/Selangor FC
Dia yang mencetak empat jaringan secara keseluruhan sekali gus muncul penjaring terbanyak dengan satu daripada gol itu dicatatkan dalam perlawanan akhir menentang skuad Sang Saka Biru.
Sumbangan itu sedikit sebanyak membuka mata penyokong mengenai kebolehan pemain antarabangsa Chile tersebut yang sebelum ini kerap dikritik atas isu disiplin dan persembahan kurang memuaskan.
Tidak cukup dengan itu, impak dibawa import berusia 34 tahun terbabit menyaksikan Selangor FC meraih liputan meluas sehingga ke Amerika Selatan apabila sebuah agensi media mereka melaporkan kejayaan kelab Lembah Klang itu.
"Ronnie Fernandez sedang menikmati tempoh yang cemerlang di Malaysia dengan dia menjuarai MFL Challenge bersama Selangor FC selain muncul penjaring terbanyak dengan empat gol.
"Selain itu, dia turut diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan. Penyerang tersebut menjaringkan gol dalam perlawanan akhir kedua menentang PDRM FC yang menyaksikan pasukannya meraih kemenangan 7-0 secara agregat," tulis Chilevision Deportes.
Laporan sedemikian sememangnya perlu untuk meningkatkan lagi pengetahuan orang ramai mengenai skuad Gergasi Merah yang turut bercita-cita besar dalam menjadi kelab ternama di peringkat antarabangsa.
Jaringan lebih meluas itu boleh membawa manfaat besar buat pasukan kerana ia memudahkan urusan mencari penaja selain memberi pendedahan kepada pemain di Amerika Selatan untuk mengenali pasukan Liga Super itu.
"Bekas penyerang Universidad de Chile itu menambah satu lagi kejayaan dalam musim memberangsangkan dalam arena bola sepak di Malaysia yang mana dia sudah mencatatkan 15 gol secara keseluruhan setakat ini," tulisnya lagi.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada Selangor FC akan mengekalkan khidmat Ronnie atau tidak, namun terdapat ura-ura mengatakan kontraknya hanya akan tamat pada Jun 2026.
Bagaimanapun, melihat kepada rekod terdahulu, kelab Lembah Klang berkenaan kerap membuat penggiliran terhadap pemain import meskipun seseorang itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram