SELEPAS terpaksa menarik diri daripada Terbuka Malaysia akibat kecederaan, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa berbuat demikian bagi dua lagi pertandingan pada Januari.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu pada Selasa mengesahkan tidak akan menyertai dua lagi pertandingan dalam Jelajah Dunia BWF iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh TeamLZJ, keputusan itu diambil selepas pemain tersebut tidak dapat sembuh sepenuhnya daripada kecederaan dialami semasa Jelajah Dunia Akhir, Disember lalu.
BACA LAGI: Kecederaan tak sempat pulih, Lee Zii Jia terpaksa lupakan Terbuka Malaysia
BACA LAGI: Bekas pemain antarabangsa Kay Bin sah jadi jurulatih baharu Zii Jia
"Penampilan pertama Lee Zii Jia bagi musim 2025 akan ditangguhkan sekali lagi dengan dia sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan ligamen di buku lali kanan yang menimpanya semasa Jelajah Dunia Akhir 2024.
"Zii Jia mengesahkan untuk terlepas dua lagi kejohanan pada Januari iaitu Terbuka India dan Indonesia Masters.
"Team LZJ dengan bantuan pakar perubatan akan terus memantau kecederaan Zii Jia dan memastikan dia dalam keadaan terbaik untuk menyertai kejohanan selepas ini," ujar TeamLZJ dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Zii Jia terlepas tiga kejohanan dengan tiga tingkat prestij berbeza pada Januari dengan Terbuka Malaysia merupakan pertandingan Super 1000.
Sementara Terbuka India (14-19 Januari) merupakan pertandingan Super 750 dan Indonesia Masters (21-26 Januari) adalah kejohanan Super 500.
Satu lagi kejohanan yang diadakan pada Januari adalah Thailand Masters yang berkelas Super 300. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram