'Come to Selangor,' Jambor pelawa bekas rakan sepasukan Obregon sertai skuad Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Nikola Jambor merupakan salah seorang tonggak yang membantu skuad Gergasi Merah menjuarai MFL Challenge Cup musim ini.— Facebook/Selangor FC

MUSIM mengecewakan dialami Selangor FC sedikit diubati apabila mereka menjuarai MFL Challenge Cup susulan kejayaan menundukkan PDRM FC dalam perlawanan akhir dengan agregat keseluruhan 7-0 dicatatkan.

Pencapaian itu diraikan rata-rata pemain dan staf kejurulatihan memandangkan ia merupakan kali pertama skuad Gergasi Merah menjulang trofi selepas kali terakhir berbuat demikian 10 tahun lalu.

Jadi, untuk menceritakan perasaan riang tersebut, majoriti daripada mereka memuat naik foto keraian di laman media sosial masing-masing, termasuk dalam kalangan pemain import.

BACA LAGI: [VIDEO] Benarlah apa dikata, Selangor kelab gergasi Liga M — Nikola Jambor

BACA LAGI: [VIDEO] Kukuhkan benteng Gergasi Merah, Nidzam Jamil yakin Niko Jambor boleh beri 'real fight'

Galovic kini beraksi di Portugal bersama FC Arouca. Agensi

Salah seorang yang terawal berkongsi pencapaian menakjubkan itu ialah Nikola Jambor yang baru sahaja menyertai kelab Lembah Klang itu pada penghujung September lalu.

Dalam hantaran dibuat pada Ahad, pemain kelahiran Serbia tersebut memuat naik beberapa keping gambar, termasuk foto memaparkannya bersama trofi MFL Challenge Cup.

Perkongsian tersebut menerima respons daripada rakannya di Instagram, namun apa yang lebih menarik perhatian adalah apabila bekas rakan pasukannya, Nino Galovic menghantar komen dalam Bahasa Melayu.

"Syabas Nikola, awak hebat," kata pemain pertahanan berusia 32 tahun berkenaan.

Komen ringkas itu dibalas Jambor yang dengan bersahaja mempelawa bek tengah itu untuk menyertai skuad Gergasi Merah menerusi komen ringkas 'Come to Selangor FC'.

Balasan ringkas daripada pemain tengah bertahan itu turut menarik perhatian kelab berkenaan yang sempat meninggalkan 'like', sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa perpindahan tersebut boleh dimeterai.

Berdasarkan rekod, Galovic dan Jambor pernah berada dalam satu pasukan iaitu Slaven Belupo di Croatia pada musim 2015/16 dengan empat penampilan bersama pernah dicatatkan.

Menariknya, pemain Selangor FC itu bukanlah satu-satunya bekas rakan sepasukannya yang kini beraksi di Liga Super kerana Galovic juga pernah beraksi dengan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Obregon.

Obregon yang kini beraksi buat skuad Harimau Selatan juga bekas rakan sepasukan Galovic. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kedua-dua pemain itu pernah beraksi bersama-sama sebanyak 13 kali di HNK Rijeka sebelum penyerang kelahiran Colombia berkenaan menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Bagaimanapun, mustahil bagi Obregon dan Galovic untuk beraksi bersama-sama sekali lagi memandangkan juara 11 kali berturut-turut Liga Super itu sudah memiliki lambakan pemain di posisi pertahanan.

Jadi, sekiranya Galovic mahu mencuba nasib dalam arena bola sepak tanah air, Selangor FC merupakan pilihan terbaik dengan kehadiran Jambor akan memudahkan proses perpindahan itu.

Untuk rekod, Galovic yang merupakan pemain kelahiran Croatia kini beraksi di Portugal bersama FC Arouca sejak tiga tahun lalu dengan kontraknya akan berakhir pada penghujung Jun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram