
PELANTIKAN tiga pempengaruh media sosial merupakan satu pendekatan strategik diambil Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam usaha mempromosikan penjualan kad keahlian The Wing dalam kalangan penyokong.
Salah seorang ikon dilantik kelab Utara tanah air itu ialah penyanyi tanah air, Black Hanifah atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Keputusan pelantikannya sebagai duta pasukan merupakan langkah bijak memandangkan penggiat seni berusia 37 tahun itu lahir di Baling, Kedah, pasti dapat mencetuskan sentimen anak jati.
BACA LAGI: Sabah, Terengganu, Kedah 'sesak nafas' tanpa impak jurulatih baharu
BACA LAGI: 'Turun ke Liga Perdana beri peluang Kedah sembuh'
Black (tengah) dilantik sebagai duta pasukan bersama dua lagi pempengaruh media sosial lain. — Facebook/KDA FC
Meskipun hasil pelantikannya belum menunjukkan hasil, kehadiran Black dijangka mampu menarik lebih ramai penyokong Hijau Kuning untuk mendaftar sebagai ahli The Wing.
Sekiranya sasaran 20,000 boleh dicapai, tidak mustahil bagi pihak pengurusan KDA FC boleh mempraktikkan strategi melantik anak jati negeri berstatus selebriti atau pempengaruh sebagai duta kelab.
Malah, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga figura yang boleh diletakkan dalam senarai calon untuk dipilih sebagai individu yang boleh mempromosikan setiap usaha pasukan.
1. Lan Pet Pet
Dalam kalangan artis kelahiran Kedah, Mazlan Ahmad atau turut dikenali sebagai Lan Pet Pet merupakan penyokong setia skuad Sang Kenari memandangkan dia sudah mengikuti perkembangan pasukan sejak bermusim-musim lamanya.
Hal itu turut diakui pelawak kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut yang tampil mengakui dia menyokong kelab berkenaan sejak zaman persekolahan, iaitu sekitar era 1980-an.
Lan Pet Pet (tiga dari kiri) mengikuti perkembangan Kedah sejak bertahun-tahun lamanya. — Facebook/Kedah FA
Sokongan itu kelihatan berterusan sehingga hari ini apabila ahli kumpulan Senario itu kelihatan menyarung jersi KDA FC meskipun pasukan tersebut tidak berada dalam prestasi terbaik.
Meskipun tidaklah hadir ke stadium bagi setiap hari perlawanan, Lan Pet Pet masih membuktikan sikap cintanya terhadap skuad Sang Kenari kerana kerap memuat naik hantaran di media sosial dengan berpakaian jersi kelab.
Sikapnya yang peramah dengan penyokong lain membuatkannya calon terbaik untuk dilantik sebagai duta kerana peminat akan lebih tertarik untuk menyokong setiap inisiatif kelab.
2. Janna Nick
Kejayaan Kedah menjulang Piala FA 2019 selepas menundukkan Perak FC berjaya melakar senyuman di wajah penyokong pasukan itu, termasuk dalam kalangan ribuan peminat Hijau Kuning yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Salah seorang pengikut setia pasukan yang tidak terkecuali menikmati momen manis itu ialah artis tempatan, Nurul Jannah Muner yang dikenali ramai sebagai Janna Nick.
Dalam foto dimuat naik di laman Instagram peribadinya itu, pelakon berkenaan jelas menunjukkan sokongan terhadap pasukan tersebut dengan menyarung jersi sambil memegang mafla berserta cogan kata 'Pulun Kedah Pulun'.
Namun, ia bukanlah kali pertama Janna Nick hadir ke stadium untuk memberi sokongan kerana dua tahun sebelum itu, dia juga menjadi bahan bualan orang ramai kerana cukup bersemangat meraikan kejayaan pasukan.
Meskipun hari ini dia tidak lagi kelihatan menyokong KDA FC secara terbuka, pihak pengurusan Kedah masih boleh cuba untuk melantiknya sebagai duta kelab bagi tahun-tahun akan datang.
Sekiranya keputusan itu diambil, lebih 6 juta pengikutnya di Instagram sudah pasti dapat mengetahui serba-sedikit mengenai perkembangan pasukan sebelum mereka boleh mencurahkan sokongan bersama-sama.
3. Farid Kamil
Heboh diperkatakan di media sosial pada November tahun lalu apabila artis tanah air, Farid Kamil tampil bertemu pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dengan isi perbincangan tidak didedahkan sehingga hari ini.
Ramai beranggapan pelakon berusia 43 tahun itu berminat untuk membuat pelaburan dalam pasukan memandangkan ketika itu, pasukan tersebut sedang sibuk mencari sumber kewangan baharu.
Farid Kamil (kanan) ketika bertemu Daud Bakar pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, kedua-dua pihak masih tidak menjelaskan perjumpaan tersebut dengan penyokong hanya beranggapan Farid Kamil berminat untuk menjadi duta pasukan.
Dia yang merupakan anak jati Alor Setar, Kedah sememangnya layak untuk dilantik dalam langkah mempergiatkan usaha mempromosikan pasukan dengan orang ramai tidak lagi asing dengan kelibatnya di layar perak.
Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada Farid Kamil mengikuti perkembangan kelab itu atau sebaliknya kerana dia tidak pernah menyatakan sokongannya secara terbuka buat skuad Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram