Poster usikan PDRM tak bawa tuah, alami 2 episod kekecewaan berturut-turut


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Kekalahan dialami skuad Sang Saka Biru menyaksikan mereka kini berada di tangga kelapan Liga Super. — Facebook/PDRM FC

EPISOD muram skuad Sang Saka Biru berterusan apabila mereka mengalami kekalahan 1-2 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras, KL pada Rabu.

PDRM FC yang minggu lalu tewas dalam perlawanan akhir MFL Challenge Cup selain kehilangan khidmat ketua jurulatih, P Maniam sekali lagi berputih mata selepas gagal meraih sebarang mata di tempat lawan.

Keputusan itu sememangnya mengecewakan memandangkan sebelum perlawanan bermula, PDRM FC mengeluarkan poster berserta unsur usikan terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

BACA LAGI: Tindakan PDRM FC rehatkan Maniam timbulkan persoalan apa salah dia

BACA LAGI: 'Come to Selangor,' Jambor pelawa bekas rakan sepasukan Obregon sertai skuad Gergasi Merah

Poster berserta mesej usikan dimuat naik PDRM FC sebelum aksi menentang KL City FC. Facebook/PDRM FC

Grafik tersebut memaparkan tonggaknya, Safiee Ahmad yang menjadi punca skuad Sang Saka Biru dikenakan hukuman oleh kedua-dua badan pengurusan bola sepak tempatan itu sebelum perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup.

Poster itu turut disertakan mesej ringkas 'Boleh main ke tak?' dengan peminat bola sepak berasakan usikan itu hanya menambah seri dalam arena bola sepak tanah air yang semakin sendu.

Bagaimanapun, ia gagal membawa tuah buat pasukan kendalian Eddy Gapil itu daripada mengalami kekalahan kepada KL City FC selepas Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli masing-masing mencatatkan satu gol.

Meskipun terdapat usaha PDRM FC mengikat kedudukan menerusi gol lewat, Chidi Osuchukwu, jaringan itu jelas terlalu lewat buat mereka yang mengalami kekalahan buat kali kelapan dalam saingan Liga Super 2024/25.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Sang Saka Biru kini berada di tangga kelapan sementara KL City FC berjaya memintas Perak FC untuk memanjat ke tangga keenam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram