
BAKAT bersinar bola sepak wanita tanah air, Nur Qaseh Rania Khairul Najib yang menyertai sesi latihan di kelab Jerman, VfL Wolfsburg tahun lalu menjadi perbincangan peminat sukan itu.
Ini kerana masing-masing mula berasa bangga akan kejayaan anak jati Puchong, Selangor itu yang tidak gentar untuk menyertai pasukan gergasi sedemikian meskipun tidak pernah beraksi secara profesional setakat ini.
Malah, keputusannya untuk meninggalkan tanah air untuk menyambung karier di Eropah wajar disokong kerana penghijrahan sedemikian jarang dilakukan, baik dalam kalangan pemain lelaki apatah lagi wanita.
BACA LAGI: Ikhlas mahu bantu bola sepak lokal, kerjasama dengan MBI Selangor jadi sasaran Wolfsburg
Qaseh Rania (tiga dari kanan) menyertai sesi percubaan di Jerman yang jelas membuahkan hasil. — VfL Wolfsburg
Bagaimanapun, selepas menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan pihak-pihak lain, Rania membuat perjudian berani dengan menyertai sesi percubaan di VfL Wolfsburg.
Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil apabila pemain berusia 15 tahun itu sudah ditawarkan kontrak untuk menyertai skuad Bawah 17 Tahun (B-17) selepas barisan kejurulatihan kelab terpukau dengan kebolehannya.
Lebih membanggakan lagi, Ketua Wakil Wolfsburg di Asia Tenggara, Ken Hew berkata, tidak mustahil bagi pemain itu untuk menjalani sesi latihan bersama pasukan senior.
"Kita sememangnya berhasrat untuk menyerapnya ke dalam skuad B-17 dan dalam masa sama, kita akan cuba meletakkannya dalam pasukan senior untuk berlatih. Tetapi, kita juga perlu berhati-hati dan tidak membuatkannya terlalu keletihan.
Peluang berlatih bersama skuad wanita senior VfL Wolfsburg sememangnya sukar untuk ditolak. — Instagram/VfL Wolfsburg
"Ini kerana dia masih berusia 15 tahun dan pendedahan terlalu kerap akan menyebabkannya sukar untuk menanggung beban itu bagi jangka masa panjang. Jadi, kita perlu melakukannya secara teknikal," katanya.
Berdasarkan pelan awal, Rania akan kembali ke Jerman pada Julai atau Ogos depan dengan keluarganya akan turut bersama-samanya dalam usaha membolehkan pemain muda itu menyesuaikan diri.
Sekiranya diberikan peluang berlatih bersama skuad senior, pengalaman itu sudah tentu akan terus menggilap bakatnya memandangkan VfL Wolfsburg merupakan antara pasukan terbaik di dunia.
Ini kerana pasukan yang kini dikendalikan Tommy Stroot itu pernah menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) selain dinobatkan kelab paling cemerlang dua tahun berturut-turut bermula 2013.
Pasukan wanita VfL Wolfsburg pernah menjulang dua gelaran UWCL berturut-turut. — Agensi
Dalam pada itu, Ken Hew sempat menjelaskan Rania akan diletakkan dalam skuad B-17 berbanding B-15 kerana bakatnya dilabel luar biasa sepanjang menyertai sesi percubaan sebelum ini.
"Sepanjang enam minggu bersama VfL Wolfsburg, kami berjaya kesan peningkatan dari segi kebolehan di atas padang. Dari segi perspektif pihak teknikal pula, mereka jelas mengakui bakatnya.
"Walaupun dia boleh diserap ke dalam skuad B-15 berdasarkan usianya ketika ini, kami beranggapan dia sudah layak untuk berada dalam skuad B-17 dan kecemerlangannya bersama pasukan itu akan membolehkannya dimasukkan ke dalam skuad senior," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram