
AWAL musim lalu, peminat Johor Darul Ta'zim (JDT) dikejutkan dengan berita pemergian rekrut baharu mereka, Jalil Elias yang secara tiba-tiba meninggalkan skuad Harimau Selatan.
Dia yang baru sahaja tiba pada Januari 2024 sememangnya amat dinanti-nantikan impaknya memandangkan dia hadir dengan nilai pasaran nilai €3 juta (RM15.2 juta), sekali gus menjadikannya pemain import termahal dalam sejarah.
Namun, ketika diturunkan dalam aksi debut menentang Negeri Sembilan FC, pemain kebangsaan Syria itu tidak membawa impak segera meskipun pada hujung permainan, skuad Harimau Selatan mudah mencatatkan kemenangan 3-1.
BACA LAGI: Belum 'move on' dari Argentina, Jalil Elias disebut kembali ke kelab lama
BACA LAGI: Tak dialu-alukan, fans kelab Argentina lebih berminat tonggak lama kembali berbanding Jalil Elias
Jalil merupakan kapten San Lorenzo sebelum menyertai JDT pada awal tahun lalu. — Agensi
Persoalan mula timbul pada minggu-minggu seterusnya JDT apabila Jalil tidak lagi kelihatan di padang latihan JDT, apatah lagi dalam senarai pemain bagi hari perlawanan.
Ketiadaannya mencetuskan pelbagai spekulasi dengan ada mengatakan pemain berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan jangka masa panjang sementara ada beranggapan kontraknya sudah ditamatkan lebih awal.
Bagaimanapun, teka-teki mengenai keberadaannya akhirnya terjawab apabila dia sendiri memuat naik foto memaparkannya sedang beraksi di Argentina bersama Velez Sarsfield.
Perkara itu menimbulkan kejanggalan memandangkan JDT tidak memberi sebarang kenyataan mengenai pemergiannya, namun kehilangannya tidak begitu dirasakan kerana skuad Harimau Selatan memiliki lambakan pemain di posisi tengah.
Malah, sekali pun tanpa kelibat pemain termahal mereka itu, pasukan Selatan tanah air itu tidak mengalami sebarang masalah untuk meneruskan dominasi dalam Liga Super selain melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Jadi, menyedari mereka memiliki pilihan lain di bahagian tengah, JDT sekali lagi membenarkan Jalil untuk berkelana dengan laporan terbaru dari Amerika Selatan mengatakan kelab lamanya, San Lorenzo menjadi destinasi terbarunya.
"Jalil hanya selangkah untuk pulang ke San Lorenzo. Sekiranya dia melepasi ujian kecergasan, pengumuman mengenai kepulangannya akan dibuat dalam masa terdekat. San Lorenzo tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana JDT akan menanggung gajinya," tulis El Plateista di laman X.
Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan pemain tengah tersebut akan menyertai Velez Sarsfield secara tetap, namun juara liga Argentina itu enggan menebus kontraknya.
Jalil Elias menyertai Velez Sarsfield secara pinjaman pada awal musim lalu. — Instagram/Jalil Elias
Keengganan pihak pengurusan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mereka memandangkan Jalil menjadi tonggak ketika musim bersejarah kelab tersebut dengan 19 penampilan secara keseluruhan direkodkan.
Jadi, menyedari situasi rumit dialami kesemua pihak, San Lorenzo bertindak segera dengan menawarkan jalan keluar buat pemain itu dari JDT dengan perpindahan tersebut dipercayai hanya berstatus pinjaman.
Untuk rekod, Jalil pernah beraksi buat kelab berkenaan sebanyak 117 kali dalam semua pertandingan dengan dia pernah diberikan peranan kapten pasukan selepas barisan kejurulatihan yakin akan nilai kepimpinannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram