Disebut rebut posisi sayap kanan, ada 3 sebab Castillejo bukan pengganti Arif Aiman


  • Podium
  • Ahad, 02 Mac 2025

Kombinasi Arif Aiman dan Castillejo memberikan fleksibiliti kepada JDT dalam merencana strategi terbaik.— Facebook/JDT

KELAB gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya mengumumkan Samuel Castillejo sebagai rekrut baharu mereka dengan pemain itu difahamkan akan memperkukuhkan bahawa serangan Harimau Selatan.

Di sebalik kegembiraan penyokong menyambut kehadiran Castillejo, ada juga segelintir pengikut Harimau Selatan yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai status bintang sedang meningkat naik Malaysia, Arif Aiman Hanapi.

Masakan tidak, Castillejo diketahui mempunyai pengalaman luas di Eropah bersama kelab seperti AC Milan dan Villarreal. Portfolio yang mengagumkan itu jelas memberi kelebihan untuk menyaksikan penyerang Sepanyol itu berupaya untuk merebut posisi pemain sayap kanan.

BACA LAGI: Hampa mutu barisan hadapan tapi Haziq Nadzli terima pujian lepas 2 'save' penting minit akhir

BACA LAGI: Keberanian JDT bawa Castillejo boleh tutup kelemahan Liga M, tak mustahil lebih ramai import gred A menyusul

Di sebalik kehadiran pemain import seperti Castillejo, Arif Aiman tetap mempunyai kelebihan tersendiri yang membezakan dirinya dengan siapa pun pemain import baharu JDT termasuk rekrut baharu mereka tersebut.

Oleh itu, kali ini Majoriti cuba merungkai tiga sebab penyokong tanah air tidak usah gusar dengan nasib Arif Aiman susulan pemain itu akan kekal sebagai tonggak utama walaupun dengan ketibaan Castillejo.

1) Castillejo mampu beraksi di pelbagai posisi

Meskipun posisi pemain berusia 30 tahun itu di bahagian sayap kanan namun Castillejo juga berkebolehan beraksi sebagai penyerang sayap kiri dan tengah kanan (right midfield).

Dalam 324 penampilannya bersama lima kelab pernah disertainya, Castillejo bermain sebanyak 103 permainan sebagai penyerang sayap kiri dan pernah juga bertugas menjadi pemain tengah menyerang dalam sembilan perlawanan.

Dengan pengalaman luas di kelab seperti Villarreal, AC Milan, dan Valencia, dia mempunyai keupayaan teknikal serta kreativiti dalam mencipta peluang dan mengawal tempo permainan di bahagian serangan.

Namun, peranan ini berbeza dengan apa yang dimainkan oleh Arif Aiman. Pemain kebangsaan itu lebih cenderung beroperasi sebagai sayap kanan dengan kelajuan tinggi, kepantasan dalam melakukan larian ke dalam kotak penalti, serta keupayaan menewaskan pertahanan satu lawan satu.

Sementara, Castillejo pula lebih dikenali sebagai pemain yang bergantung kepada hantaran pendek, kawalan bola yang baik, dan kreativiti dalam membentuk serangan dari tengah atau sayap.

2) Arif Aiman seorang pemain versatil

Arif Aiman yang terkenal dengan kelajuan serta kawalan bola yang cemerlang, bukan sahaja beraksi di posisi kegemarannya sebagai sayap kanan tetapi juga mampu menggalas tugas di sayap kiri apabila diperlukan.

Lebih daripada itu, ketika pasukan berada dalam mod bertahan, pemain berusia 22 tahun berkenaan akan turun ke bahagian kanan bawah padang bagi membantu pertahanan dan menghalang ancaman dari pemain sayap kiri lawan.

Keupayaan versatil Arif Aiman jelas dapat disaksikan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), khususnya ketika kemenangan ke atas kelab Australia, Central Coast Mariners dan wakil Korea Selatan iaitu Pohang Steelers.

Dalam perlawanan tersebut, Arif Aiman mempamerkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai peranan di atas padang, mengikut arahan langsung daripada Hector Bidoglio yang berada di tepi padang.

3) Castillejo, Arif Aiman melengkapi satu sama lain

Castillejo telah memulakan sesi latihan bersama rakan sepasukannya di JDT. — Facebook/JDT

Saingan ACLE menuntut tahap intensiti permainan yang tinggi, ketahanan fizikal yang berpanjangan, serta kepakaran dalam mengawal tempo dan taktikal permainan.

Keupayaan untuk bertahan dalam perlawanan berintensiti tinggi amat penting di pentas ACLE, yang memerlukan setiap pasukan perlu memiliki stamina luar biasa dan keupayaan untuk bertarung dalam situasi ‘body contact’.  Dengan kelebihan fizikal serta kemahiran teknikal yang mereka miliki, diyakini mampu memberikan impak besar kepada pasukan.

Selain itu, dengan keperluan taktikal yang berubah-ubah mengikut lawan dan tempo permainan, kombinasi Arif Aiman dan Castillejo memberikan fleksibiliti kepada JDT dalam merencana strategi terbaik.

Gandingan mereka bukan sahaja meningkatkan kreativiti serangan pasukan, malah memperkukuhkan kestabilan keseluruhan pasukan ketika menentang kelab-kelab gergasi Asia.

Menghadapi cabaran besar di ACL Elite, kedua-dua pemain itu dilihat sebagai kepingan penting dalam ‘puzzle’ taktikal JDT, yang berhasrat untuk terus mengukuhkan nama di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram