'Rumors' ke Iran mula senyap, Arif Aiman dipetik bakal berkelana ke Korea Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 01 Mac 2025

Arif Aiman menikmati satu lagi musim yang cemerlang di pentas domestik dan Asia bersama skuad Harimau Selatan.

KEMATANGAN dipamerkan setiap kali beraksi menjadikan Arif Aiman Hanapi menjadi buruan kelab-kelab gergasi sekitar Asia yang sudah lama mengikuti perkembangannya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, musim ini, khabar angin yang mengatakan pemain sayap itu akan berkelana semakin hangat didengari selepas dia memberikan persembahan berkualiti dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Lima gol dijaringkan di peringkat kumpulan meletakkannya sebaris dengan pemain bertaraf antarabangsa seperti Riyad Mahrez dan Aleksandar Mitrovic yang berpengalaman di Eropah.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans tak gemar lihat reaksi Arif Aiman 'ajak gaduh' lepas kaki dipijak pemain TFC

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sudah masanya lihat Malaysia Golden Boy' fans Rangers senarai kelebihan Arif Aiman ke Eropah

Penyokong di Iran meletakkan harapan besar untuk menyaksikan Arif Aiman beraksi buat Persepolis FC.

Sumbangan memberangsangkan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan menamatkan saingan di tangga ketiga, sekali gus berjaya meloloskan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Jadi, dengan reputasinya semakin diketahui ramai, timbul khabar angin mengatakan kelab Iran, Persepolis FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada penghujung tahun lalu.

Ura-ura itu hangat diperkatakan di media sosial sehingga menyaksikan penyokong dari Timur Tengah memenuhi ruangan komen Instagram pemain berusia 22 tahun tersebut untuk memujuknya memeterai perpindahan berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang perkembangan berhubung perkara tersebut, sekali gus menyaksikan Arif Aiman meneruskan kariernya yang kian positif bersama skuad Harimau Selatan.

Jeonbuk Hyundai merupakan antara pasukan konsisten beraksi di pentas Asia. Agensi

Tetapi, khabar angin mengenai perpindahan pemain Harimau Malaya berkenaan tidak terhenti di situ apabila timbul ura-ura mengatakan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors berminat dengan khidmatnya.

Hal itu dilaporkan sebuah agensi media di laman X, Markaj News yang mengatakan hal tersebut sudah disahkan sumber dalaman berdekatan dengan pasukan terbabit selepas mereka berasa kagum akan kebolehannya sepanjang musim.

"Pemain sayap JDT, Arif Aiman sedang dipantau kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors. Pemain berusia 22 tahun tersebut sedang menikmati musim cemerlang dalam liga Malaysia selain dalam kempen ACL.

"Dalam 17 aksi liga, pemain kebangsaan Malaysia itu sudah mencatatkan tujuh gol dan 12 bantuan jaringan. Sumber berhampiran dengan kelab itu sudah mengesahkannya," tulisnya.

Jeonbuk Hyundai menjadi kelab terbaru yang dilaporkan berminat dengan khidmat Arif Aiman. X/Markaj News

Selain Persepolis dan Jeonbuk Hyundai, Arif Aiman pernah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab sekitar Asia, termasuk pasukan di China serta Jepun.

Bagaimanapun, menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mereka hanya akan menerima tawaran sekiranya kelab yang berminat dengan Arif Aiman beraksi secara konsisten dalam ACL Elite.

Ini kerana pemain itu sudah menerima pendedahan berterusan dalam kejohanan berkenaan sejak tiga musim lalu, sekali gus perpindahan ke mana-mana kelab dengan standard lebih rendah hanya akan membantutkan perkembangannya.

Jadi, perpindahan ke Jeonbuk Hyundai Motors itu masih boleh direalisasikan kerana pasukan itu beraksi di pentas Asia secara konsisten sejak beberapa tahun lalu, namun hanya berentap dalam ACL Two musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram