[VIDEO] Aksi joging petang seirama bek Pahang bersama Pawi buat fans Tok Gajah naik darah, risau jadi lauk JDT 


  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Safawi mencetak gol luar kotak ketika membantu menewaskan Tok Gajah 0-5. — Facebook/TFC

KELEBIHAN beraksi di halaman sendiri tidak memberi kelebihan kepada Sri Pahang untuk meraih sebarang mata, sebaliknya menjadi santapan malam Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 5-0 dalam aksi Liga Super pada Khamis.

Dalam aksi yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, Pahang menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali benar-benar memanfaatkan kelebihan beraksi 10 pemain untuk meraih tiga mata. 

Skuad Tok Gajah terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 62 minit selepas pertahanan tengah Aleksandar Cvetkovic dilayangkan kad merah susulan mengasari Akhyar Rashid pada minit ke-27 permainan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Sri Pahang bantu pembedahan ayah asbab tonggak Tok Gajah setia dengan kelab

BACA LAGI: 'Sejarah akan berulang', Orang Besi Sri Pahang yakin Tok Gajah mampu henyak JDT

Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Safwan Mazlan masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring pada babak pertama. Manakala, Ismahil Akinade dan Manuel Ott pula menambah derita Tok Gajah pada separuh masa kedua. 

Kekalahan besar itu pastinya tidak dijangka oleh penyokong Tok Gajah dengan yang paling mengecewakan apabila anak-anak buah Fandi Ahmad tidak memberikan kesungguhan untuk mengurangkan defisit gol. 

Menerusi video dimuat naik Astro Arena, barisan pertahanan Sri Pahang dilihat hanya berjoging dan tampak santai mengawal gerakan serangan dari Safawi Rasid hingga akhirnya gol luar kotak penalti terhasil pada minit ke-28.

"Pertahanan kenapa ikut sahaja dia joging. Langsung tiada nak terjah bola, Tapi shot Pawi (Safawi) itu memang padu. Kaki kiri dia masih berbisa, harap dapat on form balik macam 2018," kata penyokong Tok Gajah, Shawnly Spencer.

"Bagus pemain Pahang. Iring Pawi bawa bola ke gol Pahang," sindir penyokong Sri Pahang, Mohd Taufik. 

"Kalau main joging berirama macam itu di final, risau nanti kena bantai macam Selangor," pendapat penyokong Tok Gajah, Mohd Shahrul Nizam yang khuatir Tok Gajah akan dibantai oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia nanti. 

Selangor FC tewas 1-6 kepada Harimau Selatan dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 24 Ogos tahun lepas. Kekalahan besar itu dirisaukan turut menimpa Tok Gajah. 

Sekiranya aksi sama dipamerkan barisan pemain terutama bahagian pertahanan Tok Gajah, tidak mustahil jika Harimau Selatan akan menang mudah untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram