[VIDEO] Tak sanggup hilang Kpah di pentas final, Fandi Ahmad sedia buat rayuan


  • Podium
  • Isnin, 03 Feb 2025

Sri Pahang FC berjaya menamatkan penantian sedekad untuk menempah tiket ke pentas final Piala Malaysia selepas menyingkirkan Sabah FC pada Ahad.

SRI Pahang FC akan membuat rayuan agar penggantungan kapten pasukan, Kpah Sherman ditarik balik bagi membolehkan penyerang kelahiran Liberia itu beraksi dalam final Piala Malaysia 2024.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, mereka akan mengemukakan rayuan selepas tonggak Tok Gajah itu menerima kad kuning pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada Ahad.

Layangan kad kuning itu bermakna Kpah akan terlepas perlawanan final bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim pada 26 April nanti selepas mengumpul dua kad kuning dalam kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Lupakan episod duka Piala Malaysia, Akinade tagih kebangkitan Sang Penyu di bumi Bangkok

BACA LAGI: [VIDEO] Jojo segak 'catwalk' berbaju Melayu, siap belanja 'shadow boxing' di pentas fesyen Bulan Bintang

Sebelum ini, Kpah menerima kad kuning dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Perak FC pada 13 Disember 2024.

"Kpah sudah menerima dua kad kuning, jadi kami akan merayu terhadap penggantungannya. Kami akan meneliti video cabarannya pada minit ke-70 ketika dia dilayangkan kad kuning.

"Dia telah bermain dari mula kejohanan dan sampailah ke final, jadi ia tidak kelihatan baik jika dia tidak bermain dalam final. Saya pasti akan membuat rayuan untuknya," katanya.

Pahang berjaya melangkah ke final Piala Malaysia selepas 11 tahun penantian dengan menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi timbal balik sekali gus menutup agregat separuh akhir 3-2.

Dalam aksi yang penuh dramatik itu, Kpah muncul wira bagi skuad Tok Gajah dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 di Stadium Temerloh, Pahang. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram