KEHIDUPAN Luqman Hakim Shamsudin di bumi Jepun akan kekal disoroti oleh para penyokong bola sepak tanah air kerana masing-masing ingin menyaksikan penyerang muda itu kembali mendapat potensi sebenarnya.
Penghijrahan Luqman Hakim ke ke kelab Jepun divisyen tiga, YSCC Yokohama secara pinjaman pada Januari lalu menjadi topik perdebatan penyokong rentetan ada sebahagian mereka ingin menyaksikan pemain itu beraksi di saingan Liga Malaysia musim ini.
Kebimbangan penyokong itu pastinya disebabkan minit permainan kerana khuatir jika penyerang skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara itu masih bergelut untuk menembusi kesebelasan utama Yokohama.
Kerisauan penyokong itu nampaknya semakin hampir menjadi kenyataan apabila Luqman Hakim dilaporkan tidak tersenarai dalam skuad Yokohama bagi aksi sulung Liga Divisyen Ketiga Jepun (Liga J3) pada Ahad.
Jangankan dipilih sebagai kesebelasan utama, nama penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan juga disisihkan dari senarai pemain simpanan dalam perlawanan seri 1-1 menentang Kataller Toyama.
BACA LAGI: Niat hati tak nak berpisah, bintang JDT beri 'hint' enggan jauh dengan Luqman Hakim?
Kesebelasan utama Yokohama menentang Kataller Toyama. — Facebook/Yokohama
BACA LAGI: [VIDEO] Ikuti perkembangan penyerang muda, coach Australia gembira keputusan Luqman Hakim ke Jepun
Lebih mengundang kekecewaan para penyokong domestik apabila Luqman Hakim dikesan memegang kamera profesional sambil duduk di tepi padang dan gaya penyerang berusia 22 tahun itu seolah-olah sedang menjadi jurugambar Yokohama.
Menjengah di media sosial, para penyokong beremosi menyaksikan Luqman Hakim diperlakukan sebegitu rupa dan ada juga yang mula meletakkan kesalahan di bahu ejen bekas pemain Selangor FC berkenaan.
"Tidak tahulah siapa ejen Luqman Hakim ini, kasihan betul bakat dia selama ini," kata penyokong tanah air, ZDainy Fgvr.
"Kasihan aku tengok Luqman Hakim ini. Aku tengok dia ini tak mampu bersaing, lepas itu skil pun tiada macam Arif Aiman dan Faisal Halim," tambah penyokong, Zack JB.
"Luqman Hakim buat kerja sambilan ke tepi padang itu," kata penyokong yang menggunakan akaun Facebook, Rayyan Rossi.
Diharapkan selepas ini, Luqman Hakim akan mendapat tempat dalam pasukan utama kerana ramai tidak sabar menunggu graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) untuk melakukan debut bersama Yokohama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram