Bersinar dalam aksi cameo di MBPJ, fans Sabah tagih tenaga 'ubi muda' 19 tahun bertemu Terengganu


  • Podium
  • Ahad, 02 Mac 2025

Skuad Sang Badak tidak boleh mencicirkan sebarang mata dalam baki perlawanan sekiranya mahu merebut slot ke ACL Two musim depan. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC mensia-siakan peluang untuk mengecilkan jurang dengan Selangor FC dalam kedudukan di carta Liga Super apabila mereka hanya mencatatkan keputusan seri ketika kedua-dua mereka bertemu pada Khamis lalu.

Mereka sepatutnya memiliki peluang meraih kemenangan penting, namun sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-72 permainan mudah ditepis Kalamullah Al-Hafiz untuk memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga minit akhir permainan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Sang Badak kini berada lapan mata di belakang Selangor FC yang memiliki slot untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.

BACA LAGI: Fans Sabah 'predict' keputusan lebih awal, tak minat corak permainan Martin Stano

BACA LAGI: Hilang fokus di Likas, Martin Stano akui peluang di Temerloh 50-50

Skuad Sang Badak kini berada lapan mata di belakang Selangor FC. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, kelab Borneo tanah air itu sudah tentu tidak mahu menyerah kalah dalam misi meraih slot ke pentas Asia dengan masih terdapat empat perlawanan berbaki.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa cabaran besar menanti anak-anak buah Martin Stano memandangkan mereka akan turut berdepan Terengganu FC di tempat lawan pada Jumaat.

Aksi tersebut sememangnya sesuatu yang sukar kerana skuad Sang Penyu juga mahu meraih kemenangan ke atas lawan mereka itu dalam harapan menamatkan kempen Liga Super dalam kelompok tiga teratas.

Jadi, dalam usaha kembali mencatatkan kemenangan, Sabah FC mahu persembahan terbaik ditampilkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu bagi terus menghidupkan sasaran untuk ke ACL Two 2025/26.

Dalam merealisasikan cita-cita itu, penyokong tampil memberi cadangan untuk menurunkan pasukan yang boleh memberi tentangan, termasuk memberi minit permainan buat 'ubi muda' pasukan, Chikonelson Kulisi.

Chiko menampilkan aksi memukau meskipun hanya beberapa minit berada di atas padang. Facebook/Sabah FC

Harapan tersebut diletakkan selepas pemain berkenaan dimasukkan pada minit-minit akhir permainan semasa bertemu Selangor FC dengan dia berjaya memukau orang ramai.

"Chikonelson beraksi dengan begitu baik dan dia boleh digandingkan bersama Saddil (Ramdani) untuk menguatkan lagi barisan serangan Sabah FC. Darren Lok pula boleh diturunkan pada separuh masa sahaja sebelum digantikan Jafri Firdaus Chew pada babak kedua," kata AgAli PgMohali.

"Chiko sudah menunjukkan potensi untuk beraksi. Jadi, pihak pengurusan dan kejurulatihan Sabah FC tidak boleh mensia-siakan semangat yang sedang membara," kata Mohd Yusuf Kong Abdullah.

Sebelum ini, pemain berusia 19 tahun itu hanya diturunkan bersama skuad simpanan dan dia beraksi dalam Piala MFL, namun impak dibawa tidak begitu dirasakan memandangkan Sabah FC II berada di kedudukan tercorot.

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk pihak pengurusan pasukan senior untuk menghalangnya daripada diturunkan dengan dia sudah membuktikan potensi dimilikinya ketika berdepan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram