'Cabaran di tangan Hector Bidoglio serlahkan potensi sebenar Castillejo'


  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Samu Castillejo kini adalah import baharu bagi skuad Harimau Selatan.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus menunjukkan 'nafsu besar' mereka dalam memburu kejayaan apabila menyambar bekas bintang La Liga dan Serie A, Samu Castillejo. 

Pemain berusia 30 tahun itu diperkenalkan melalui sebuah hantaran video di laman Facebook JOHOR Southern Tigers yang menyaksikan Castillejo tiba di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dan menyarung jersi pasukan Harimau Selatan.

Untuk rekod, Castillejo pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka Eropah seperti AC Milan, Villarreal, Valencia dan Malaga yang membuktikan pengalamannya di pentas tertinggi bola sepak.

BACA LAGI : [VIDEO] JDT belum puas, sambar bekas penyerang AC Milan

BACA LAGI : [VIDEO] 'Ref pejam mata', 3 insiden Liga Super termasuk bek Kedah tak dilayang kad merah bikin riuh sesama fans

Kehadiran Castillejo pastinya memberi suntikan semangat kepada JDT menjelang aksi menentang jaguh Thailand, Buriram United dalam pusingan 16 terakhir pertama Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada 4 Mac nanti.

Mengulas mengenai impak kedatangan Castillejo kepada JDT dalam saingan ACLE, pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat cabaran utama kini terarah kepada pengendali JDT, Hector Bidoglio.

"Cabaran tertumpu kepada Hector Bidoglio untuk melihat bagaimana dia mampu mengeluarkan potensi penuh Castillejo," katanya kepada Majoriti.

Castillejo telah memulakan sesi latihan bersama rakan sepasukannya di JDT.

Afiq juga menyatakan bahawa kehadiran Castillejo tidak akan memberi masalah besar kepada perancangan JDT dan yakin bahawa bekas penyerang AC Milan itu akan memberi impak yang besar kepada pasukan Harimau Selatan.

"Pengalaman dan kualiti Castillejo di Eropah sudah terbukti bermain di pentas tertinggi sebelum ini. Kehadirannya bakal memberi impak besar daripada segi pengalaman serta kreativiti di hadapan gawang gol," jelasnya.

Mengenai penyesuaian diri Castillejo dengan corak permainan Liga Malaysia dan saingan ACLE, Afiq tidak melihat ia sebagai masalah besar.

Dia juga berpendapat bahawa pemain tersebut tidak akan berdepan tekanan besar bersama pasukan baharunya.

"Bergantung kepada taktikal yang diterapkan jurulatih dan berapa lama masa yang dia perlukan. Tetapi melihat kepada pemain-pemain JDT sebelum ini, dijangka ia bukan masalah besar buat Castillejo.

"Mana-mana pemain bakal hadapi isu penyesuaian diri terlebih dahulu bersama pasukan baharu untuk mengenali stail rakan sepasukan serta taktikal diterapkan tapi Castillejo pasti tidak berdepan dengan masalah itu," ujarnya.

Ditanya mengenai tekanan yang mungkin dihadapi oleh penyerang kelahiran Sepanyol itu, Afiq yakin Castillejo mampu untuk mengatasi perkara tersebut.

"Tiada tekanan. Castillejo hadir dengan kejutan dan momentum pasukan dalam keadaan baik. Tekanan itu biasa buat mana-mana pemain sebenarnya, ia bergantung buat Castillejo sendiri untuk mengatasinya," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram