Cemerlang ledak hatrik bertemu KDN, penyerang The Cats puji Aidil Sharin jurulatih terbaik


  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Kuching City FC berjaya mencuri tiga mata berharga dalam perlawanan bertemu Kelantan Darul Naim pada Rabu.

PENYERANG kelahiran Ghana, Jordan Mintah mempamerkan ketajaman luar biasa dengan mencetak hatrik untuk Kuching City FC dalam saingan Liga Super 2024 bagi memastikan harapan mereka untuk menamatkan saingan dalam lima tempat teratas musim ini terus hidup. 

Pemain berketinggian 1.82 meter itu menunjukkan aksi yang cukup cemerlang ketika membantu Kuching City mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu, sekali gus menamatkan siri tiga perlawanan seri mereka.

Mintah yang berusia 29 tahun menjaringkan kesemua gol pada minit ketiga, keenam dan ke-59 untuk memastikan kemenangan keenam pasukan Borneo itu musim ini, sekali gus kekal di tempat kelima dengan 27 mata dari 19 perlawanan.

BACA LAGI: 'Tak mustahil ada 2 Saddil', Martin Stano diseru beri peluang anak jati Sabah raih minit permainan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ref pejam mata', 3 insiden Liga Super termasuk bek Kedah tak dilayang kad merah bikin riuh sesama fans

Mintah mencetak hatrik bagi membantu The Cats mencuri tiga mata penting bertemu KDN FC. 

Hatrik itu merupakan yang pertama bagi Mintah musim ini dan dengan 11 gol dari 17 perlawanan, dia kini berada di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super, di belakang Bergson Da Silva dari Johor Darul Ta'zim (23 gol) dan Paulo Josue dari Kuala Lumpur (13 gol). 

Mintah kelihatan amat gembira dengan prestasinya, apatah lagi setelah berjaya meledak hatrik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas hatrik pertama saya musim ini. Gol sentiasa membuatkan kita gembira. Saya juga ingin memberikan kredit kepada rakan-rakan sepasukan atas sokongan mereka.

“Saya sudah menjaringkan 11 gol setakat ini, tetapi saya mahukan lebih lagi, yang bermaksud saya perlu bekerja lebih keras,” kata Mintah.

Mintah menjaringkan gol pertama melalui tandukan selepas 'rebound' daripada Kipre Tchetche dan gol ketiga juga merupakan tandukan hasil hantaran lintang daripada Tchetche.

Gol kedua pula hadir menerusi penyudah tenang selepas menerima hantaran daripada pemain sayap berbisa Ramadhan Saifullah, sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol lawan, Alfaiz Muhammad.

“Aidil Sharin Sahak adalah jurulatih terbaik yang pernah saya bekerjasama setakat ini. Komunikasinya di dalam dan di luar padang sangat baik, dan dia seperti seorang bapa kepada kami semua,” tambah Mintah yang sudah beraksi di Malaysia sejak 2020.

Mintah berharap untuk meneruskan prestasi cemerlangnya apabila mereka berhadapan dengan pasukan finalis Piala Malaysia, Sri Pahang FC di Stadium Temerloh, Pahang pada 4 Mac nanti. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram