
AKSI saingan minggu ke-22 Liga Super 2024 menyaksikan perlawanan menarik antara Selangor FC dan Sabah FC berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.
Aksi yang berlangsung pada Khamis itu menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang dalam melakukan serangan ke kubu lawan masing-masing namun tetap buntu dalam mencari jaringan.
Pujian patut diberikan kepada penjaga gol The Rhinos, Damien Lim dan Gergasi Merah, Kalamullah Al Hafiz yang menampilkan aksi cukup cemerlang dalam menjaga pintu gawang masing-masing.
BACA LAGI: 'Gerakan senang dibaca,' Darren Lok dituduh punca gagal bantu Sabah raih 3 mata berharga di MBPJ
BACA LAGI: [VIDEO] JDT belum puas, sambar bekas penyerang AC Milan
Darren Lok gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Sabah FC sekadar berkongsi satu mata bertemu Selangor FC. — Facebook/Sabahfc
Sabah hampir sahaja berhasil mencuri tiga mata di laman lawan itu namun sepakan penalti yang diambil oleh Darren Lok berjaya diselamatkan Kalamullah pada minit ke-76 permainan.
Meskipun berakhir dengan keputusan seri di Stadium MBPJ, ramai penyokong Sabah tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh Sang Badak itu kerana mampu mengikat juara Piala Cabaran musim ini.
Namun, di sebalik kecemerlangan Sabah itu, terdapat individu yang berjaya mencuri perhatian penyokong The Rhinos.
Penyokong Sabah FC tidak berhenti memberi pujian kepada pemain muda, Chikonelson Kulisi, selepas dia diberi peluang beraksi dalam perlawanan menentang Gergasi Merah.
Walaupun dimasukkan hanya pada minit ke-87 menggantikan Saddil Ramdani, pemain kelahiran Tenom itu menunjukkan kelincahan dan keyakinan luar biasa di atas padang.
Aksi itu merupakan penampilan pertama Chikonelson musim ini, namun dia tidak kelihatan kekok untuk bekerjasama dengan rakan sepasukan.
Dengan tubuh yang lincah dan pergerakan yang pantas, Chikonelson segera menyesuaikan diri dalam rentak perlawanan yang penuh mendebarkan itu.
Pemain muda Sabah FC, Chikonelson Kulisi. — Facebook/Sabahfc
Aksi Chikonelson yang dibawa masuk pada minit-minit akhir perlawanan itu mendapat pujian daripada penyokong Sang Badak yang kagum dengan caranya menyekat jentera serangan Selangor daripada menembusi benteng pertahanan Sabah.
Peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano nyata tidak disia-siakan oleh Chikonelson yang membuktikan keupayaannya meskipun masih baru dalam skuad utama.
Penyokong setia Sabah FC berharap agar lebih banyak peluang diberikan kepada pemain muda seperti Chikonelson untuk terus berkembang dan membantu pasukan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
"Chikonelson kalau diberi minit permainan yang banyak, tidak mustahil Sabah akan mempunyai dua jelmaan Saddil Ramdani selepas ini.
"Kecil-kecil cili padi, laju corak permainan dia ini, hampir sama dengan Saddil, padu anak jati Kampung Batu-Batu, Tenom," kata Petrus Onggou.
"Mantap Chikonelson, kecil tapi lincah dan laju bila main, cubalah masuk awal mungkin ada manis-manis, harap dapat diberi minit permainan selepas ini," kata Moon Hatsune.
"Memang padu ini si Chikonelson, cara mainan dia macam si Saddil, rugi kalau peram sahaja, mesti mahu main juga," kata Ronald Lim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram