
ISU pengadilan dalam kancah bola sepak tanah air terus menjadi perbualan hangat terutama dalam kalangan penyokong tanah air yang sering merasakan keputusan pengadil dalam sesebuah perlawanan tidak adil dan berat sebelah.
Pengadil sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan perlawanan berlangsung dengan adil dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Namun, kekesalan timbul apabila pengadilan sering kali mengundang kontroversi.
Salah satu kebimbangan utama penyokong sukan tempatan adalah keputusan pengadil yang dilihat tidak adil atau tidak konsisten.
BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI
BACA LAGI: Rasai kemenangan lepas sekian lama tapi fans NSFC lebih berang bek Kedah tak dibuang padang
Lebih membimbangkan, keputusan yang diragui itu sering melibatkan kekasaran atau tindakan fizikal yang membahayakan keselamatan pemain.
Dalam situasi seperti itu, pengadil seharusnya bertindak tegas dan mengambil keputusan yang tepat untuk melindungi pemain.
Namun, ada kalanya pengadil gagal bertindak mengikut keperluan, terutama apabila kekasaran yang berlaku berpotensi menyebabkan kecederaan serius.
Terbaru, tiga aksi Liga Super 2024 yang berlangsung baru-baru ini mencetuskan kemarahan penyokong tempatan.
Keputusan pengadil dalam perlawanan tersebut dianggap tidak memadai dan seolah-olah 'pejam mata' terhadap situasi yang berisiko mencederakan pemain.
Kecewa dengan pengadilan yang tidak tegas, penyokong berpendapat bahawa keselamatan pemain dan keadilan dalam perlawanan harus menjadi keutamaan.
1. Kedah Darul Aman FC vs NSFC
Kedah Darul Aman FC terpaksa menelan pahit apabila gagal membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC yang berlangsung pada Rabu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu menyaksikan skuad Jang berjaya menewaskan Sang Kenari dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Harith Samsuri dan A. Selvan.
Bagaimanapun, meskipun meraih tiga mata berharga di laman sendiri itu, ramai fans NSFC tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih yang tidak melayangkan kad merah terhadap bek kanan Sang Kenari, Kamil Akmal Halim.
Bek kanan Sang Kenari itu dikesan melakukan kekasaran dengan mengangkat kaki kanannya dan mengenai bahagian perut penyerang skuad Jang, A. Selvan pada minit-minit akhir babak kedua.
Tindakan tersebut dilihat sengaja bertujuan untuk mencederakan pemain lawan, namun pengadil perlawanan memilih untuk tidak melayangkan kad meskipun sudah melihat kepada video bantuan pengadil (VAR).
2. Terengganu vs Kuching City
Aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Kuching City FC yang berlangsung pada Jumaat minggu lalu juga tercemar dengan isu pengadilan.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Manny Ott dan Ismaheel Akinade menjaringkan gol untuk Sang Penyu, manakala dua gol Kuching City FC disumbangkan oleh Jordan Mintah dan Petrus Shitembi.
Namun, perlawanan tersebut menjadi kontroversi apabila pengadil tidak melayangkan kad merah walaupun berlaku kekasaran keras terhadap pemain Kuching City FC.
Pemain tengah Sang Penyu, Engku Nur Shakir dikesan melakukan terjahan keras dengan kaki kanannya jelas menyepak bek kiri Kuching City, Filemon Anyie.
Walaupun pengadil merujuk kepada VAR, tiada tindakan susulan yang diambil.
Keputusan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Kuching City, yang merasakan pengadil berat sebelah kerana gagal mengambil tindakan meskipun sudah merujuk kepada VAR.
3. Kuala Lumpur City FC vs PDRM FC
Perlawanan liga antara Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC turut tercemar dengan isu pengadilan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu itu, pertahanan The City Boys, Kamal Azizi Zabri dikesan melakukan kekasaran dengan menyiku kepala bek kiri PDRM FC, Amir Saiful.
Insiden berlaku ketika kedua-dua pemain berebut bola, namun Kamal Azizi dilihat sengaja menyiku kepala pemain The Cops itu.
Tindakan tersebut jelas bertujuan mencederakan pemain lawan.
Walaupun insiden itu berlaku di depan mata penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil namun pengadil enggan merujuk kepada VAR.
Kecewa dengan keputusan pengadil, penyokong berpendapat Kamal Azizi terlepas kad merah yang sepatutnya dilayangkan bagi tindakan kekasaran tersebut.
Aksi di Stadium Cheras itu berakhir dengan kemenangan milik KL City yang menewaskan PDRM FC dengan keputusan 2-1. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram