[VIDEO] JDT belum puas, sambar bekas penyerang AC Milan


  • Podium
  • Khamis, 27 Feb 2025

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus menambah sengat mereka bagi membesarkan peluang tampil cemerlang dalam saingan elit Asia apabila membawa masuk bekas juara Serie A bersama AC Milan, Samu Castillejo.

Berita baik itu diumumkan menerusi laman rasmi Facebook, JOHOR Southern Tigers pada Khamis.

"Dengan lebih 300 perlawanan untuk kelab La Liga & Serie A, Samu Castillejo kini milik Harimau Selatan," tulis hantaran tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI

BACA LAGI: Terima kasih TMJ, JDT untuk 7 tahun berharga — Haziq Nadzli

Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun itu pernah menyarung jersi beberapa kelab terkemuka di Eropah seperti AC Milan, Villareal, Valencia dan Malaga.

Bekas penyerang AC Milan itu merupakan pemain import kelima terbaru JDT yang tiba bagi memperkuat jentera serangan dalam usaha untuk mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).

Sebelum ini, JDT sudah merekrut empat lagi pemain iaitu Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera, Roque Mesa dan Anselmo Moraes yang telah membawa impak positif kepada pasukan.

Kehadiran Castillejo pastinya bakal menyuntik semangat JDT menjelang aksi menentang jaguh Thailand, Buriram United dalam pusingan 16 terakhir pertama ACLE di tempat lawan pada 4 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram