'Acara double tak ada seni', fans bola rotan kurang setuju acara regu digugurkan, PSM harap ASTAF campur tangan


  • Podium
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Acara regu cukup sebati dengan sukan sepak takraw.

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menggesa agar acara yang telah diluluskan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk dikekalkan dalam Sukan Asia 2026 di Jepun tahun depan.

ASTAF dan Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Nagoya (AINAGOC) telah pun meluluskan sebanyak enam pingat emas merangkumi acara regu berpasukan lelaki, quadrant lelaki, regu lelaki, regu berpasukan wanita, quadrant wanita dan double wanita.

Bagaimanapun, ASTAF telah menerima sepucuk surat dari Presiden Persatuan Sepak Takraw Jepun, Shunichi Takeshita, pada 15 Januari lalu, yang mencadangkan agar acara double dalam kategori lelaki dipertandingkan bagi menggantikan acara regu, meskipun acara itu telah diluluskan oleh AINAGOC.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT belum puas, sambar bekas penyerang AC Milan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ref pejam mata', 3 insiden Liga Super termasuk bek Kedah tak dilayang kad merah bikin riuh sesama fans

Sehubungan itu, PSM dalam satu kenyataan pada Khamis mencadangkan agar acara yang telah diluluskan oleh AINAGOC dihormati dan dikekalkan demi pembangunan sukan sepak takraw di rantau Asia.

Menurut Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, pihaknya memohon kepada ASTAF melalui Datuk Abdul Halim Kader selaku Presiden ASTAF untuk mengekalkan acara regu menjadi salah satu dari tiga acara yang dipertandingkan.

"Acara regu adalah acara utama kepada sukan sepak takraw sejak dari penubuhan sukan sepak takraw pada 1960.

"Keunikan sepak takraw dalam acara regu harus dikekalkan. Dalam temasya Sukan Asia belum pernah lagi acara regu tidak dipertandingkan. 

"Sekali lagi, bagi pihak PSM kami mencadangkan agar acara regu wajib dipertandingkan pada setiap Sukan Asia dan juga Sukan SEA.

"Saya amat tidak bersetuju dengan cadangan daripada tuan rumah untuk menggugurkan acara regu dan memasukkan acara double.

"Melainkan mereka menambah acara double dan mengekalkan acara regu," katanya.

Susulan kenyataan PSM, ramai penyokong turut membantah pengguguran acara regu yang dianggap telah sebati dengan sukan bola rotan itu.

"Mengarut saja acara double itu kalau dipertandingkan, tiada seni langsung," kata Nizar AbdJalil.

"Tak ada seri dalam sepak takraw kalau tiada acara regu, acara regu inilah paling wajib," kata Ashari Ashraf.

"Kenapa pula tiada acara regu, acara regulah paling penting dalam sukan sepak takraw," kata Rahim Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram