
HASRAT Liverpool untuk melebarkan jurang di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian selepas hanya mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Aston Villa pada Khamis.
Aksi di Villa Park itu sememangnya mendebarkan buat skuad The Reds apabila tuan rumah mendahului 2-1 pada 45 minit pertama permainan hasil jaringan Youri Tielemans dan Ollie Watkins setelah Mohamed Salah terlebih dahulu menggegar gawang pada minit ke-29.
Bagaimanapun, kedudukan itu berjaya diikat selepas bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol pada minit ke-61 permainan yang pasti memberi kelegaan buat pasukan pelawat.
BACA LAGI: Ketawa dan air mata, 2 penyerang Liverpool 'cuti rehat' di sebalik kehadiran semula Robertson-Nunez
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah digelar import paling boroi, debut Nunez gegarkan gawang Selangor masih jadi sebutan
Nunez gagal menampan bola ke dalam gol ketika penjaga gawang sudah tertewas.
Asakan diteruskan pada babak kedua permainan dalam usaha anak-anak buah Arne Slot mengelak daripada tercicir mata buat kali kelapan dalam 26 perlawanan setakat ini.
Peluang terbaik hadir buat skuad The Reds kira-kira lapan minit selepas gol penyamaan apabila pemain gantian, Darwin Nunez berada dalam situasi satu lawan satu selepas dia menerima hantaran Dominik Szoboszlai.
Namun, meskipun penjaga gol tuan rumah sudah tertewas, penyerang kelahiran Uruguay tersebut masih gagal mencetak jaringan selepas percubaannya melepasi palang dengan kegagalan itu cukup mengejutkan penyokong.
Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan Nunez sekali lagi menjadi buah mulut peminat The Reds atas kesilapan yang bukan pertama kali dilakukannya itu.
Hadir menjelaskan perkara berkenaan, Arne Slot menganggap situasi itu menyukarkan penyerangnya terbabit untuk mencetak jaringan kerana bola hinggap ke kaki yang bukan dominan bagi anak buahnya itu.
Arne Slot enggan meletakkan kesalahan besar di bahu penyerangnya itu. — Agensi
"Saya saksikan hantaran berkualiti daripada Conor Bradley yang diteruskan dengan larian bertenaga Szoboszlai. Dia juga membuat keputusan baik apabila memilih untuk menghantar bola kepada Nunez.
"Tetapi, apabila bola sampai kepada Nunez, ia tiba ke kaki kiri yang tidak dominan kerana dia berkaki kanan. Ia adalah peluang keemasan dan saya amat berharap situasi demikian berulang kerana Nunez tidak akan mensia-siakan peluang dua kali berturut-turut," katanya.
Ini bukanlah kali pertama pemain berusia 25 tahun tersebut gagal memanfaatkan umpanan sedemikian kerana dia kerap kali dikritik atas kualiti penyudah yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, meskipun kerap melakukan perkara sebegitu, dia masih menjadi watak penting buat Arne Slot kerana sudah diturunkan sebanyak 35 kali dalam semua kejohanan musim ini dengan enam gol dan lima bantuan jaringan dicatatkan.
Peluang sedemikian tidak boleh disia-siakan Nunez atau mana-mana pemain Liverpool dalam aksi getir akan datang ketika mereka bertemu juara bertahan, Manchester City pada Isnin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram