
MANCHESTER United yang kini berada dalam kedudukan berbahaya liga terpaksa berpuas hati apabila sekadar merekodkan keputusan seri 2-2 dalam aksi menentang Everton bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Goodison Park, Liverpool, England pada Sabtu itu menyaksikan dua pemain tuan rumah iaitu Beto dan Abdoulaye Doucoure menjaringkan gol buat Everton pada separuh masa pertama.
Manakala, sepakan percuma Bruno Fernandes dan gol Manuel Ugarte menyelamatkan maruah United. Satu mata daripada perlawanan berkenaan menyaksikan Man United kini berada di tempat ke-15 liga.
BACA LAGI: EPL jelaskan insiden kontroversi VAR selamatkan Man United di Everton
BACA LAGI: Kejayaan JDT jadi faktor utama penetapan tarikh final Piala Malaysia
Tidak ingin menyentuh aksi kurang memberangsangkan Man United, salah seorang peledak Everton iaitu Beto meraih perhatian penyokong tempatan susulan dia merupakan bekas rakan sepasukan Safawi Rasid ketika menyarung jersi Portimonense.
Safawi menyertai kelab Portugal tersebut pada Oktober 2020 yang menyaksikan Beto sudah beraksi selama 10 bulan sebagai pemain skuad utama Portimonense, penyerang itu pada awalnya merupakan pemain bawah 23 tahun (B-23) kelab berkenaan.
Walaupun kedua-duanya pernah menyarung jersi Portimonense, Beto berjaya memanfaatkan peluangnya serta melangkah ke liga-liga utama Eropah seperti bermain di Serie A bersama Udinese Calcio.
Beto terus mempamerkan aksi cemerlang bersama Udinese dengan menjaringkan 22 gol dalam 66 penampilan di semua pertandingan. Musim 2023 pula menyaksikan perpindahan pemain berusia 27 tahun itu ke Everton.
Beto ketika menyarung jersi Portimonense. — Agensi
Manakala, pemain sayap Harimau Selatan itu hanya membuat penampilan pertama bersama pasukan bawah 23 tahun Portimonense pada 16 Oktober 2020 dalam perlawanan menentang Sporting CP B-23.
Disebabkan kekurangan masa permainan bersama pasukan utama, pinjaman Safawi dipendekkan dan dia akhirnya kembali ke JDT pada penghujung Disember 2020. Kini, Safawi dipinjamkan ke Terengganu FC (TFC) untuk mengumpul minit permainan.
Safawi semakin menemui potensi sebenarnya bersama skuad Sang Penyu apabila pemain berusia 28 tahun berkenaan berhasil mencetak 15 gol dan tiga bantuan jaringan dalam 29 perlawanan dia diturunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram